PAS berubah sejak jadi kerajaan, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

PAS tidak lagi agresif bangkitkan isu berkaitan Islam setelah jadi kerajaan di Putrajaya bersama BN dan Bersatu sejak perubahan politik pada hujung Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

PAS sudah tidak lagi agresif membangkitkan isu berkaitan agama Islam setelah jadi kerajaan di Putrajaya bersama Barisan Nasional (BN) dan Bersatu sejak perubahan politik pada hujung Februari lalu , kata penganalisis politik.

Pemimpin PAS bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, mereka bukannya sudah berubah cuma fokusnya kini lebih pada urusan pentadbiran – sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN), ketika Malaysia berdepan kesan penularan Covid-19.

Pensyarah politik di Universiti Malaya, Mohamad Tawfik Yaakub berkata sikap tidak lagi agresif sejak jadi kerajaan bukan hanya terhad pada PAS tetapi berlaku juga pada mana-mana parti pembangkang yang jadi kerajaan, sama seperti parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ini kepentingan politik parti, parti-parti lain pun sama bila jadi kerajaan, antara alasannya mungkin nak jaga kedudukan dan periuk nasi masing-masing menyebabkan ideologi parti tidak lagi diangkat.

“Dulu PAS seringkali membawa isu utama tetapi hari ini seakan hilang arah panduan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PAS jadi begitu, antara lain, kerana mahu menjaga kedudukannya dalam sebuah gabungan kerajaan PN yang rapuh, jelasnya.

“Nak jaga kedudukan dalam kerajaan tidak menentu ini susah, kerajaan harus stabil, baru parti boleh mengangkat isu yang menjadi perjuangan mereka selama ini,” katanya.

Tambah beliau, perubahan PAS juga tidak akan menjejaskan pengaruh sokongan terhadapnya daripada akar umbi dan pengundi Melayu, amnya.

“Walaupun ahli Umno melihat PAS sukar untuk diterima, tetapi bila kena isu yang sama, seperti isu Melayu, mereka boleh bersama.

“Orang Melayu akan menilai antara PN dan PH, mana yang lebih menguntungkan mereka, itulah yang akan mendapat sokongan,” kata Tawfik.

Sebelum jadi kerajaan di Putrajaya, PAS lantang mengkritik beberapa isu pentadbiran agama Islam di bawah kerajaan PH, yang digambarkan sebagai mengancam kepentingan agama Islam dan Melayu umumnya.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah akui pimpinannya tidak lagi mengeluarkan kenyataan seagresif sebelum ini sebaliknya mereka fokus melaksanakan tugas pentadbiran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

Ia misalnya membangkitkan soal pakaian wanita yang tidak menutup aurat termasuk dalam acara sukan, dan kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk sementara penyokongnya menyebarkan maklumat tidak tepat tentang pengurusan dana Islam dan masjid.

Naratif PAS ketika itu memberikan bayangan seolah-olah Islam terancam dan disekat di bawah kerajaan PH yang disertai musuh politiknya, DAP.

Pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Azizuddin Sani pula berkata PAS sedar kedudukannya sekarang sebagai sebahagian anggota kerajaan dan kerana itu ia tidak lagi seagresif dahulu.

PAS juga sedar kedudukan gabungan PN yang rapuh dan longgar, yang dipercayai mempunyai kelebihan dua atau tiga kerusi daripada majoriti mudah yang diperlukan dalam kalangan 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Oleh itu, strategi PAS ialah mengurangkan polemik politik, katanya.

“PAS dilihat mengambil masa untuk menyesuaikan diri dalam mentadbir dan mengelak diri daripada mencetuskan polemik politik sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“PAS juga cuba melicinkan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat dengan mengelakkan polemik,” kata Azizuddin.

Ditanya sejauh mana sokongan terhadap PAS akan terjejas sekiranya parti itu sekarang tidak lagi dilihat lantang bersuara tentang Islam, Azizuddin mengingatkan bahawa corak aliran PAS juga sebenarnya sudah berubah.

PAS bukan lagi sebuah parti Islam semata-mata, katanya.

Jelas Azizuddin, di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang sebagai presiden, PAS turut memilih fahaman kebangsaan, berbeza dengan kepimpinan parti sebelumnya, apabila menjalin kerjasama rapat dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

“PAS akan ikut arus keadaan semasa dengan hubungan baik mereka dengan Umno. PAS juga sudah lebih bercirikan kebangsaan,” katanya.

Aliran kebangsaan dan Islam itu memberi kelebihan kepada PAS yang akan diterima lebih luas oleh orang Melayu, tambahnya.

“Sokongan Melayu luar bandar termasuk bandar agak tinggi kepada Muafakat Nasional.

“Berdasarkan logik, dengan pertambahan Bersatu (dalam PN) sepatutnya mereka lagi kuat dapat sokongan Melayu,” katanya.

PAS sekarang buat kerja

Sementara itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah mengakui pimpinannya tidak lagi mengeluarkan kenyataan seagresif sebelum ini sebaliknya mereka fokus melaksanakan tugas pentadbiran.

“Bila dalam kerajaan tak sama dengan di luar. Dalam kerajaan kita tak boleh cakap banyak, kita buat kerja sahaja,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Pendirian dan perjuangan PAS bagaimanapun katanya tetap menjadi tonggak utama perjuangan parti Islam tersebut.

Timbalan menteri besar Kelantan itu bagaimanapun menegaskan PAS masih memperjuangkan isu-isu yang dibawanya sebelum ini termasuk cadangan pindaan RUU 355.

Namun keutamaan PAS sekarang ialah bersama-sama kerajaan menangani pelbagai isu yang berbangkit akibat penularan wabak Covid-19.

“Isu yang utama kita utamakan. Isu tentang masalah wabak penyakit, itu isu segera yang perlu kita tangani,” katanya.

Menjelang pilihan raya umum 2018 yang bersejarah yang menumbangkan BN, semasa masih lagi pembangkang, PAS mengemukakan cadangan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Pindaan itu secara umumnya dilihat boleh membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Malaysia dengan beberapa pindaan lanjut ke atas undang-undang lain. Usul pindaan itu dibaca di Dewan Rakyat tetapi tidak dibahaskan pada November 2017.

Mohd Amar memberi bayangan PAS bukan melupakan isu itu tetapi hanya menangguhnya untuk sementara waktu.

“Pendirian dan perjuangan PAS tidak berubah. Memang sama, tetapi tak boleh kita nak menjangkakan semuanya boleh selesai dalam masa tiga bulan.

“Sekarang masalah politik tak menentu, wabak Covid-19 lagi, jadi kita kena ada keutamaan,” tambahnya. – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen