Felda yakin ada penyelewengan, tanah dijual RM270 juta


Zulkifli Sulong

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata, selain laporan polis, Felda juga telah membuat permohonan kaveat persendirian ke atas tanah strategik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

FELDA mengesahkan berlaku penyelewengan dalam penukaran hak milik sebidang tanah strategiknya di Jalan Semarak dan membuat laporan polis mengenainya.

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata, selain laporan polis, Felda juga membuat permohonan kaveat persendirian ke atas tanah itu untuk memperolehi semula hak milik berkenaan.

Jelasnya, ia dilakukan oleh sebuah syarikat yang diberi kuasa sebagai wakil Felda iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd, yang menjual sendiri tanah itu kepada syarikat dikuasai firma berkenaan.

Ia melibatkan empat perjanjian jual beli yang setiap satunya berjumlah RM54.5 juta, RM96.9 juta, RM12 juta dan RM106.4 juta, katanya.

Tegas Shahrir, Felda tidak pernah menerima satu sen pun duit daripada urusniaga berkenaan, walau rekod jual beli menunjukkan tanah berkenaan dijual dengan nilai RM270 juta.

“Pemegang PA (surat kuasa wakil) menjual tanah itu kepada dirinya sendiri dan Felda yang memiliki tanah itu tidak menerima sebarang wang,” kata Shahrir.

Katanya, Felda mengambil tiga tindakan – membuat laporan polis, membuat kaveat persendirian atas tanah itu dan berunding dengan syarikat berkenaan.

“Kita tidak akan berhenti dengan laporan polis sahaja tetapi juga tindakan sivil dan seterusnya mendaftar kaveat ke atas tanah itu di samping membatalkan PA kepada syarikat itu,” tegas Shahrir.

Shahrir berkata, beliau mula mengetahui mengenai masalah berhubung hak milik tanah berkenaan pada Januari apabila mengambil alih jawatan pengerusi Felda dari Isa Samad.

Isa Samad, clad in the orange MACC lock-up T-shirt, being escorted at the magistrate's court in Putrajaya this morning. – The Malaysian Insight pic by Nazir Sufari, August 16, 2017.

“Pegawai telah memaklumkan kepada saya ada tiga perjanjian jual beli telah dibuat melibatkan tanah Felda di Jalan Semarak,” kata Shahrir.

Susulan siasatan dan perbincangan, Felda meminta kaveat persendirian dibuat ke atas tanah itu melalui Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada bulan Januari 2017 itu juga, namun ditolak, katanya.

Ini kerana, semua dokumen yang ada pada pejabat tanah tidak membolehkan permohonan itu diproses, kata Shahrir.

“Namun kita berusaha lagi dan baru diterima pada 14 April selepas membuat rayuan kepada pejabat tanah,” katanya.

Susulan itu, pada 12 Disember lalu, Felda mengambil tindakan seterusnya dengan membuat laporan polis.

“Laporan polis kami buat selepas dibawa kepada Jabatan Perdana Menteri, meminta pandangan Peguam Negara dan Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dilaporkan menyerahkan siasatan dijalankan polis kerana mendapati kes itu lebih menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Kawasan tanah yang menjadi pertikaian itu kini dibangunkan dengan nama Kuala Lumpur Vertical City, melibatkan pembinaan tujuh menara, termasuk sebuah menara ikonik Felda. – 21 Disember 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen