Saya kagum tanah Felda bertukar milik, sindir Shahrir


Zulkifli Sulong

Ada yang tidak kena bila ada ahli lembaga Felda jadi ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation, kata Shahrir Samad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

PENGERUSI Felda Shahrir Samad, tidak menolak andaian bahawa kes pemindahan hak milik tanah strategik Felda bernilai lebih RM200 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur mungkin didalangi pihak tertentu.

Ini memandangkan, pemindahan hak milik tanah itu dilakukan dengan begitu mudah dengan hanya menggunakan surat wakil kuasa, katanya.

“Saya kagum bagaimana tanah milik institusi boleh ditukar milik dengan mudah,” katanya sinis ketika ditanya pemberita dalam sidang media di ibu pejabat Felda hari ini.

“Mungkin ada kuasa yang lebih besar jadi kami serah kepada siasatan polis untuk mengetahuinya,” katanya lagi yang turut membangkitkan mengenai kelemahan urus tadbir dalam Felda.

Jelasnya, beliau mula mengesan perkara itu pada Januari lalu apabila mula dilantik ke jawatan pengerusi Felda, menggantikan Isa Samad.

Beliau melihat berlaku kecelaruan apabila terdapat anggota lembaga pengarah Felda turut berada dalam lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), satu syarikat pelaburan lembaga tanah tersebut.

Jelasnya, FIC merupakan syarikat yang bertanggungjawab melantik Synergy Promenade Sdn Bhd dan memberikan surat kuasa wakil penuh kepada firma itu pada September 2014 untuk membangunkan tanah strategik berkenaan.

“Saya punya pandangan ketika itu macam ada tak kena bila ada ahli lembaga Felda jadi ahli lembaga pengarah FIC.

“Tidak ada perbezaan, sebab itu saya minta betulkan tambahbaik urus tadbir, saya minta ahli lembaga FIC letak jawatan,” katanya.

Shahrir bercakap dalam sidang media di ibu pejabat lembaga tersebut petang ini bersama timbalan menteri di jabatan perdana menteri Razali Ibrahim.

Razali berkata, perkara penting yang perlu dilihat adalah sama ada individu yang memegang jawatan dalam Felda pada waktu itu melanggar peraturan dalaman.

Perkara kedua adalah untuk mendapatkan semula tanah berkenaan mengikut undang-undang, tegasnya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati kes pemindahan hak milik tanah tersebut tidak melibatkan unsur rasuah atau salah guna kuasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan menyerahkan kes itu untuk siasatan polis kerana lebih menjurus kepada kelemahan urus tadbir.

“Tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa tetapi lebih kepada kelemahan tadbir urus. SPRM juga dimaklumkan bahawa kes ini telah dilaporkan kepada pihak polis.

“Biar polis jalankan siasatan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Astro Awani.

Tambahnya, SPRM bagaimana pun akan tetap menyiasat jika polis mendapati terdapat unsur rasuah.

Kawasan tanah yang menjadi pertikaian itu kini dibangunkan dengan nama Kuala Lumpur Vertical City, melibatkan pembinaan tujuh menara, termasuk sebuah menara ikonik Felda.–  21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen