Iran dakwa Israel terlibat pembunuhan saintis nuklear


Mohsen Fakhrizadeh, yang mengetuai organisasi penyelidikan dan inovasi merupakan saintis nuklear terkenal di Iran. – Gambar EPA, 28 November, 2020.

RAMAI saintis Iran yang bekerja dalam sektor nuklear dibunuh beberapa dekad kebelakangan ini dalam serangan bersasar yang didakwa Tehran dilakukan Israel, dengan pembunuhan terbaru pada Jumaat.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata terdapat petunjuk kukuh mengenai peranan Israel dalam pembunuhan Jumaat membabitkan seorang daripada saintis nuklearnya yang terkemuka. 

Beliau dikenal pasti oleh kementerian pertahanan sebagai Mohsen Fakhrizadeh, yang mengetuai organisasi penyelidikan dan inovasi.

Beberapa kes lalu:

- Pada Januari 2010, Massoud Ali Mohammadi, seorang profesor fizik zarah di Universiti Tehran, terbunuh apabila sebuah motosikal diisi bom meletup di luar rumahnya di ibu negara.

Profesor yang dihormati itu mengajar di universiti tetapi juga bekerja di Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

Beberapa pemimpin dan media rasmi di Iran menuduh perkhidmatan perisikan Israel dan AS bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Pada bulan sebelumnya Tehran menuduh AS dan Israel menculik saintis nuklear Shahram Amiri yang hilang pada Mei tahun itu.

- Pada November 2010, dua saintis dengan peranan penting dalam program nuklear Iran menjadi sasaran dua serangan bom di Tehran yang dakwa Iran melibatkan Israel dan AS. Seorang saintis, Majid Shahriari, terbunuh.

Antara 2010 hingga 2012, ketika kemuncak krisis dengan beberapa kuasa dunia berhubung program nuklear Iran, lima saintis Iran dibunuh di Tehran, dengan Iran menuduh Badan Perisikan Pusat AS (CIA) dan perkhidmatan perisikan Israel, Mossad menjadi dalang.

- Pada 12 November 2011, letupan di depoh peluru Pengawal Revolusi di pinggir bandar Tehran mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang termasuk Jeneral Hassan Moghadam, yang bertanggungjawab bagi program senjata untuk unit elit.

Menurut Los Angeles Times, AS dan Israel mengetuai operasi menentang program nuklear Iran. – AFP, 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen