Tolak undi belah bahagi supaya boleh kaji perubahan belanjawan, kata Anwar


KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim berkata beliau mengarahkan Ketua Amanah dan DAP untuk tidak membuat undi belah bahagi dalam Belanjawan 2021 semalam agar ahli Parlimen dapat mengkaji pindaan rang undang-undang tersebut.

“Walaupun rakan-rakan khususnya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya sebagai ketua pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan meminta mereka tidak berbuat demikian.

“Ini supaya ahli-ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman menteri kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan ini adalah tambahan kepada yang sudah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana kementerian lain.

“Ahli Parlimen juga perlu tahu dengan tepat berapa jumlah sebenar Belanjawan dan kesannya terhadap kewangan negara.

“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya.

Beliau berkata masih ada peluang untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu akan datang.

“Perlu saya nyatakan di sini bahawa dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti ini.

“Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.

“Tetapi bagi rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan dan bagi mereka yang mendapat peruntukan tambahan seperti di Sabah, nelayan, petani dan petugas barisan hadpaan Covid-19, mereka pasti gembira dengan pengumuman semalam,” katanya.

Belanjawan 2021 diluluskan dengan undi suara selepas beberapa pindaan dan pengumuman tambahan dibuat semasa penggulungan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Hanya 13 ahli Parlimen berdiri menyokong usul undian belah bahagi. – 27 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen