Putrajaya mesti libat semua ahli Parlimen pinda belanjawan, kata Chin Tong


Ragananthini Vethasalam

Liew Chin Tong berkata empat krisis besar yang harus ditangani kerajaan ketika ini adalah - isu kesihatan, pekerjaan, iklim serta digitalisasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2020.

PUTRAJAYA harus melibatkan semua penggubal undang-undang ketika meminda Belanjawan 2021 bukan mengancam tidak mengagihkan gaji kepada penjawat awam dan barisan hadapan jika belanjawan tidak diluluskan, kata Liew Chin Tong.

“Kerajaan tidak boleh menggunakan peruntukan gaji untuk penjawat awam dan pekerja kesihatan di barisan hadapan sebagai alat untuk mengugut ahli Parlimen untuk mendapat sokongan dalam Belanjawan 2021,” kata senator DAP itu dalam sebuah video.

“Sebaliknya, kerajaan harus melibatkan ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak dan meminda belanjawan agar ia dapat menyelamatkan nyawa waraga Malaysia dan membantu kehidupan mereka,” tambahnya lagi.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata bahawa Putrajaya tidak dapat memenuhi komitmennya, termasuk membayar penjawat awam dan menghulurkan bantuan kepada barisan hadapan, jika belanjawan tidak diluluskan.

Liew berkata masih belum terlambat untuk kerajaan membentangkan ‘Belanjawan Perpaduan.’

Beliau menjelaskan bahawa Putrajaya harus menyedari sudah sampai masanya para pemimpin dari kedua-dua belah pihak bekerjasama bagi menghadapi krisis dahsyat yang berlaku di seluruh dunia.

Beliau berkata empat krisis besar yang harus ditangani kerajaan ketika ini adalah - isu kesihatan, pekerjaan, iklim serta digitalisasi.

Katanya lagi, walaupun Belanjawan 2021 menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion. Malangnya, ia tidak menangani empat krisis utama itu dengan baik.

Mengulas lanjut mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.5-7% bagi 2020 dan sasaran defisit fiskal sebanyak 5.4%, Liew berkata melihat realiti tersebut. Sememangnya ketika ini, tidak sesuai untuk meneruskan usaha penjimatan fiskal.

“Ini adalah masa untuk berbelanja dengan bijak. Belanja di tempat yang betul dan perkara yang betul,” katanya.

Liew turut megulas bahawa kerajaan ketika ini dilihat tidak meletakkan keutamaannya dengan perbelanjaan yang “tidak betul”.

“Malangnya, waktu-waktu begini kerajaan mahu bermain politik,” katanya.

Beliau berkata rakyat akan menderita jika dana tidak disalurkan ke tempat yang sepatutnya.

“Menteri kewangan, perdana menteri dan menteri lain harus menghadiri perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat bagi meneliti apa sahaja gagasan yang boleh dimasukkan dalam belanjawan.

“Jika tidak, mengapa kita perlu adakan perbahasan? Kerajaan tidak boleh berharap Parlimen menerima pembentangan belanjawan secara keseluruhan. Kerajaan harus membenarkan pindaan,” katanya lagi.

Liew mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional bahawa ia memiliki majoriti tipis dan Umno tidak akan mengikut keinginan mereka dalam setiap perkara.

Oleh itu, ia harus merendah diri dan melibatkan ahli Parlimen dalam pindaan belanjawan, jelasnya lagi. – 22 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen