Belanjawan 2021 gadaikan pendidikan Bumiputera


DALAM Belanjawan 2021, antara item yang mengejutkan adalah pemotongan peruntukkan bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari RM1.86 bilion kepada RM1.73 bilion. Potongan ini hampir RM129 juta berbanding peruntukan tahun 2020. 

Ramai ahli parlimen telah mempersoalkan pemotongan ini sewaktu sidang perbahasan Belanjawan 2021.

Kesan pemotongan ini bakal memberi impak negatif kepada pembangunan pendidikan bumiputera. 

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM Prof Datuk Dr Ismail dalam kenyataannya berkata pemotongan ini bakal merencatkan rancangan masa depan UiTM yang sedang berusaha menjadi 500 universiti terbaik pada masa ini.

Pada hari ini pula Naib Canselor UiTM mengatakan bahawa kesan dari pemotongan belanjawan 2021 ini mungkin akan mengakibatkan 600 pensyarah sambilan dan 8,000 pembantu pendidikan akan terkesan.

Persoalannya, mengapa kerajaan Perikatan Nasional yang kononnya perjuangkan bangsa dan agama pada akhirnya menjadi punca yang membantutkan pendidikan anak-anak bangsa? 

Mengapa peruntukan kepada badan seperti Jasa dan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang bertujuan politik diberi keutamaan sedangkan anak bangsa mengemis di negeri sendiri bagi mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Jika ada sekelumit perjuangan bangsa dalam hati para Ahli Dewan Rakyat berbangsa Bumiputera merentasi parti, Belanjawan 2021 ini wajar ditolak melainkan penjajaran semula dibuat tanpa menggadaikan masa depan anak bangsa. 

Perjuangan agama dan bangsa bukan sekadar menjadi laungan namun peru diterjemah dalam dasar dan pentadbiran. – 24 November, 2020.

* Ulya Aqamah Husamudin, Ketua Penerangan (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen