Perlukah Belanjawan 2021 ditolak?


PROSES undian Belanjawan 2021 di peringkat dasar yang dijadualkan pada 26 November ini tentunya akan menjadi tumpuan orang ramai.

Sejak dua minggu perbahasan Belanjawan 2021 dimulakan, terdapat spekulasi belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini akan ditolak ahli Parlimen bagi mencabar legitimasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang curang dalam menguruskan pentadbiran negara. 

Kenyataan menteri kewangan yang cuba menakut-nakutkan rakyat mengenai impak negatif sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan Parlimen adalah satu perkara yang tidak wajar dilakukan dan hanya menambah kegelisahan orang awam dalam waktu sukar ini.

Dakwaan Parlimen mempunyai kuasa penuh untuk mengawal dan meminda belanjawan kerajaan adalah satu “mitos” kerajaan PN yang cuba merendahkan keabsahan Parlimen di mata rakyat sekiranya mereka gagal meluluskan Belanjawan 2021.

Pernahkah Parlimen Malaysia menolak atau tidak meluluskan belanjawan kerajaan sejak enam dekad yang lalu?

Bilakah Parlimen berjaya mendesak kerajaan untuk meminda belanjawan negara? Jawapannya tidak pernah. 

Walaupun terdapat penolakan daripada ahli Parlimen pembangkang, belanjawan negara tetap diluluskan kerana kerajaan mempunyai sokongan majoriti di Parlimen. 

Jadi, apa yang membuatkan menteri kewangan dan jentera kerajaan menyebarkan mitos yang cuba memburukkan institusi Parlimen di mata rakyat?

Jalan politik yang terdesak

Disebabkan kerajaan PN mempunyai majoriti tipis di Parlimen dengan kedudukan 112 orang ahli Parlimen dan 108 ahli Parlimen pembangkang dan bebas, maka risiko untuk Parlimen menolak belanjawan agak tinggi. 

Namun, tekanan menteri kewangan hari ini bukanlah daripada pembangkang, tetapi daripada ahli Parlimen PN, khususnya Umno, yang tidak mempunyai ketetapan untuk menyokong Belanjawan 2021.

Inilah dilema Muhyiddin dalam agenda Belanjawan 2021.

Malangnya, kerajaan PN memilih jalan berpolitik untuk mendesak ahli Parlimen meluluskan belanjawan ini berbanding rundingan penyelesaian secara demokratik. 

Ahli Parlimen sebebanrnya mempunyai kuasa yang terhad dalam mempengaruhi belanjawan negara.

Tugas ahli Parlimen adalah untuk membahas, memberi pandangan dan menyemak belanjawan negara sebelum ia diluluskan. 

Persoalannya, sejauh manakah pandangan dan kritikan ahli Parlimen diambil serius oleh kerajaan untuk menambah baik belanjawan negara selama ini? 

Perbahasan belanjawan yang berisi cadangan dan kritikan daripada ahli Parlimen hanyalah diiktiraf sebagai “ucapan” oleh pihak kerajaan tanpa membuat langkah meminda dan menyemak semula peruntukan belanjawan tersebut. 

Hujah menteri kewangan yang menyatakan gaji barisan hadapan dan penjawat awam tidak akan dibayar jika Belanjawan 2021 ditolak adalah satu perkara yang tidak masuk akal.

Kerajaan boleh sahaja membawa peruntukan “kecemasan” untuk diluluskan Parlimen agar perbelanjaan pentadbiran seperti gaji, elaun dan pencen penjawat awam diteruskan meskipun Belanjawan Negara ditolak atau sedang dirunding oleh ahli Parlimen.

Peristiwa ini pernah berlaku ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) membentangkan Belanjawan 2000 pada Oktober 1999.

Perbahasan dan undian Belanjawan 2000 ditanguhkan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum 1999. 

Kerajaan BN memohon peruntukan awal dibawah Perkara 102 perlembagaan persekutuan yang diluluskan Parlimen bagi membiayai gaji, elaun dan pencen penjawat awam sementara menunggu Belanjawan 2000 diluluskan pada Februari 2000.

Ia dijelaskan secara mudah oleh Dr Mahathir Mohamad di blognya pada 20 November 2020. 

Fakta ini juga menolak sepenuhnya dakwaan menteri kewangan yang menyatakan penolakan Belanjawan 2021 akan berakhir dengan penjawat awam tidak mendapat gaji pada Januari 2021. 

Tindakan kerajaan PN yang cuba menggambarkan keburukan ahli Parlimen sekiranya menolak Belanjawan 2021 adalah tidak betul sama sekali. 

Kegagalan kerajaan PN mencari soluisi yang tuntas, selain mengugut ahli Parlimen dan rakyat, telah menunjukkan mereka tidak berdaya menguruskan pentadbiran negara yang berhadapan dengan krisis Covid-19. 

Inilah jalan politik yang terdesak daripada sebuah kerajaan yang tidak stabil dan rapuh di Parlimen.  

Jalan tengah atau jalan keluar

Demi menyelamatkan nasib rakyat dan penjawat awam dalam Belanjawan 2021, menteri kewangan perlu mengambil jalan tengah yang lebih teratur dan demokratik untuk mendapatkan keyakinan serta sokongan ahli Parlimen pelbagai parti. 

Kerajaan PN perlu mencapai Confident Supply Agreement (CSA) dengan ahli Parlimen pembangkang.

Menteri kewangan perlu menerima cadangan ahli Parlimen pembangkang untuk meminda Belanjawan 2021 bagi memastikan kerajaan mempunyai majoriti kukuh ketika meluluskan belanjawan di Parlimen. 

Sokongan ahli Parlimen pembangkang ini dapat menampung risiko kekalahan kerajaan yang kini menerima tekanan hebat daripada ahli Parlimen kerajaan. 

Kerajaan tidak seharusnya terburu-buru mengejar masa bagi meluluskan Belanjawan 2021.

Apa yang penting adalah memastikan kandungan Belanjawan 2021 berkualiti dan mampu menjadi penggerak kepada jaminan kesejahteraan ekonomi dan kesihatan rakyat dan negara.

Bukan menjadi belanjawan yang memenuhi tujuan politik perdana menteri. 

Lebih baik Belanjawan 2021 diluluskan lewat dengan melakukan pindaan yang menguntungkan rakyat berbanding meluluskan belanjawan tempang yang boleh mendatangkan kemudaratan dan masalah pada masa hadapan.

Jika menteri kewangan gagal melihat pendekatan jalan tengah ini, berkemungkinan Parlimen juga akan menunjukkan “jalan keluar” buat kerajaan PN dari Putrajaya.

Mungkin akan ada pembentukan kerajaan baharu untuk menyemak dan mengeluarkan belanjawan baharu yang lebih komprehensif.  

Tetapi, jika kerajaan baharu ini juga mempunyai majoriti yang sama dengan PN, maka apakah jaminan mereka untuk kekal memerintah dalam jangka masa panjang? 

Persoalan lebih penting: pihak mana yang sedang cuba membentuk kerajaan baharu sekiranya Belanjawan 2021 gagal diluluskan? 

Hakikatnya, Belanjawan 2021 hanya akan mendapat sokongan ahli Parlimen sekiranya menteri kewangan membuat pindaan ke atas cadangan penambahbaikkan dengan prinsip yang telus. 

Cubaan menakutkan orang ramai berkenaan belanjawan bukanlah satu tindakan negarawan dalam meredakan kegelisahan rakyat pada waktu pandemik Covid-19.

Terpulanglah kepada kerajaan PN sama ada ingin diingati rakyat atas reputasi cemerlang atau hanya dikenang sebagai “mimpi buruk” yang pernah berlaku dalam sejarah politik negara. – 23 November, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid, koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa). 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen