Dakwaan larangan jual arak langgar Perlembagaan tidak tepat


ISU larangan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat.

Setakat memahami peraturan baharu ini, penjualan minuman keras ini bukan bertujuan menghalang orang bukan Islam meminum arak, tetapi lebih kepada mengurus dan mengawal penjualan arak.

Namun, larangan ini tidak terpakai ke atas penjualan bir di kedai runcit dan kedai serbaneka ini agak pelik kerana ia tidak pula dikategorikan minuman keras.

Adapun Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.”

Peruntukan ini, ditegaskan, berkaitan perkara kepercayaan (akidah) dan mengamalkan peraturan (ibadat) yang ditetapkan agama masing-masing.

Namun, isu di sini adalah isu penjualan arak dan bukannya pengharaman meminum arak.

Sekiranya mana-mana agama tidak melarang meminum arak, peraturan baharu ini tidak menyentuh perkara tersebut kerana ia bukan berkaitan melarang seseorang meminum arak, cuma pengurusan dan kawalan penjualan arak dihadkan di kedai-kedai tertentu.

Ironinya, larangan meminum minuman keras dalam pemanduan tidak pula dianggap melanggar kebebasan beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya orang bukan Islam langsung dilarang meminum arak, barulah boleh dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Membuat suatu peraturan menyeragamkan sistem kehidupan semua warganegara adalah perlu dalam konteks kemajmukan negara ini. Kerajaan Perikatan Nasional juga diingatkan untuk tidak mempolemikkan isu ini bagi meraih simpati politik murahan.

Memahami sesuatu isu dari sudut undang-undang dan perlembagaan dengan kehendak warganegara yang sentiasa dipandu oleh agama dan budaya masing-masing perlu diseimbangkan.

Hak individu untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing harus dihormati dan dipromosikan bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang aman dan makmur. – 23 November, 2020.

* Faiz Fadzil, Adun Permatang Pasir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen