Umno tak mahu dipaksa terima sesiapa


UMNO dan PAS adalah pendiri Muafakat Nasional (MN). Semenjak MN diasaskan, kerjasama Umno dan PAS adalah sangat utuh.

Umno sangat menghargai setiakawan PAS dan kerjasama keduanya telah banyak membuahkan kebaikan kepada politik Melayu Islam di Malaysia.

Walaupun PAS menyertai Perikatan Nasional (PN), Umno tidak menghalangnya kerana Umno memahami dan menghormati kedudukan PAS. Lagipun piagam MN tidak pernah menghalang PAS bekerjasama dengan sesiapapun.

Maka demikian juga yang Umno harapkan dari PAS tentang hubungan Umno dengan Bersatu.

Umno yakin PAS tidak akan memaksa Umno untuk menerima Bersatu, apalagi memberikan kerusi kepada Bersatu dengan sewenangnya.

Kerana itu, saya yakin bahawa kenyataan bahawa ‘PAS tidak akan bersama Umno tanpa Bersatu’ oleh seorang yang bukan jurucakap PAS, tidak
mewakili pendirian PAS.

Ia datang dari seorang yang hanya ingin menyelamatkan Bersatu dan memecah-belahkan MN.

Umno dan PAS menyedari bahawa kepentingan tertinggi ialah rundingan kerusi pilihan raya antara keduanya sebagai sebahagian dari MN.

PAS pasti menyedari bahawa akan ada kerusi yang Umno akan bertembung dengan Bersatu. Oleh kerana Umno bukan sebahagian dari PN, maka apa jua rundingan dengan Bersatu adalah untuk Umno lakukan terus dengan PN melalui Barisan Nasional.

Umno dan PAS mempunyai sinergi yang meyakinkan. Maka sinergi inilah yang mesti dioptimumkan waktu ini.

Selain PAS, kerjasama Umno dengan parti yang lain adalah berdasarkan formula kemampuan parti tersebut memberikan Umno ‘strategic advantage’ untuk kebolehmenangan.

Umno bukan dalam misi memberikan ihsan kepada mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dengan pertolongan Umno. 

Umno juga tidak mahu dipaksa menerima sesiapa untuk menjadi rakan politiknya. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Keutamaan Umno ialah kemenangan berganda dengan kerjasama PAS. Selebihnya, biar Umno akan tentukan jalannya sendiri. – 23 November, 2020.

* Mohamed Khaled Nordin,  Naib Presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen