Untung jualan 'live streaming'


Zainal Rashid Ahmad

MEDIA sosial sudah lama dilambak dengan akaun bersifat perniagaan. Mengikut data Facebook, daripada 26.6 juta akaun di Malaysia, terdapat 1.4 juta akaun yang “aktif” memuat naik bahan perniagaan.

Walaupun bermula pada 2008 dan menjadi platform terbesar di media sosial – dalam tempoh 12 tahun – berlaku banyak reformasi di Facebook. 

Mark Zuckerberg sentiasa melakukan evolusi dan dalam sedekad – ia sudah mencapai tahap reformasi media sosial. Selain laman sembang sosial, Facebook dalam konteks aplikasi pengguna peniagaan kini harus berubah sejajar dengan reformasi evolusi itu. 

Bagi akaun perniagaan, sekiranya bergantung pada konsep “posting” poster dan kapsyen sahaja, ia dianggap bisnes “budaya zaman fosil”. 

Ini kerana terdapat lebih sejuta poster “made by Malaysian” dalam pelbagai genre berlegar dan mengitari semua akaun Facebook setiap 24 jam. 

Sama ada poster perniagaan, troll, poster notifikasi, kempen politik, kapsyen peribadi dan posting peribadi, ia menjadikan lambakan poster di Facebook kini menjadi satu limpahan di luar kawalan. 

Secara natural, seorang pemilik akaun hanya mampu memberikan perhatian pada 20 poster sehari. 

Selalunya poster perniagaan akan kehilangan tempat ditenggelami poster troll politik atau poster peribadi dengan pelbagai mesej non bisnes. 

Poster perniagaan akan diabaikan. Apa lagi kalau sekadar foto dan kapsyen. 

Selamat jalan “park and post” 

Konsep “post and park” foto atau poster dengan sedikit kapsyen penjelasan kini dianggap fosil lama. Apatah lagi bagi produk perniagaan yang memerlukan penjelasan terperinci, interaksi dan lebih promosi bagi meningkatkan kefahaman pembeli. 

Ingat! Menerima seribu tanda suka bukan bererti impak poster tersebut berjaya. 

Kegilaan pada “pengaruh” angka likes boleh dianggap seperti menerima kertas tunai tanpa nilai. Kerana bisnes sebenar ialah mesti bersifat tingkatan jualan berdasarkan promosi. 

Selalunya, tanda suka sekadar “respons ambil hati” di kalangan pengikut rapat atau kawan-kawan. 

Mempercayai tanda suka sebagai kejayaan promosi adalah satu mitos menyedihkan. Tanda suka tetap dihargai, tetapi bisnes memerlukan nilai jualan yang membawa kepada capaian nilai tunai sebenar melalui realiti jualan. 

Paparan video juga promosi purba 

Di media sosial, selain poster atau foto, promosi perniagaan yang sekadar meletakkan paparan video promosi pun termasuk senarai kaedah lapuk. 

Posting yang disusuli kapsyen “manipulasi” atau “copyright hard sale”, kini berubah dilihat sebagai “jenaka stereotaip”. Tanda suka sekali lagi boleh dianggap “jenaka rutin” yang tidak perlu ditertawakan. 

Pastinya sekali lagi, “likes” tidak boleh dijadikan jaminan kejayaan sekiranya ia tidak disertai impak jualan. 

Terimalah hakikat bahawa Facebook juga ada budaya stereotaip dan rutin sendiri yang harys dilihat sebagai “sudah tua” dan tidak lagi berfungsi pagi keberkesanan bisnes. 

Perniagaa pastinya bukan sekadar mengutip “likes”. Bisnes sebenar ialah mencapai jualan. 

“Live streaming” kini kemahiran baharu

Sejak 2017, budaya perniagaan di Facebook mula diterokai dengan perniagaan secara “live”. 

Kini lebih 1000 akaun Facebook aktif mengadakan jualan secara live. Malah, bersifat konsisten. Cuma, itu utama ialah kualiti kandungan “live” serta disiplin kekerapan jadual. 

Secara purata, lebih 200 akaun perniagaan menjalankan bisnes “live streaming” melebihi tiga kali seminggu. Terdapat akaun perniagaan yang menjalankan siaran antara 10 ke 18 kali live seminggu. 

Selain mengekalkan kekerapan bersiaran secara konsisten, akaun perniagaan ini turut menetapkan waktu siaran. Ini memudahkan temujanji dengan penonton dan pembeli. 

Amethriftstore dan kisah dua remaja 

Amethrift diasaskan dua remaja. Amir, 17 tahun, masih bersekolah dan Iqbal, 18 tahun, adalah lepasan SPM. 

Perniagaan Amethriftstore unik: fokusnya di Instagram kerana sasarannya ialah remaja. Produknya pula ialah pakaian terpakai (bundle). 

Kisah dua remaja ini sangat menginspirasikan. Apabila ingin mencari wang saku, mereka memulakan perniagaan di tepi jalan pada pertengahan Jun lalu.

Bisnes bermula sebaik saja PKP ditamatkan dan PKP Pemulihan diperkenalkan. 

Berniaga di jalanan antara 6 petang hingga 12 malam ketika memulakan bisnes memang sesuatu yang mencabar, walaupun menjual pakaian remaja dan dewasa semurah RM20 sehelai. 

“Kami bermula dengan modal RM800 untuk membeli satu bale (guni) baju bundle” kata Iqbal. 

Peritnya, kata Iqbal, untuk membanyakkan opsyen pilihan, Amethriftstore meningkatkan modal tambahan sebanyak RM2,400 untuk mendapatkan tiga guni baju terpakai. 

“Sedikit malang, lepas bayar saja guni baru, PKP Bersyarat dikuatkuasakan dan bisnes kami terjejas kerana orang tidak gemar keluar ke jalanan dan waktu meniaga dihadkan hingga 10 malam,” kata Iqbal. 

“Live streaming” di Instagram 

Apabila perniagaan di tepi jalan menjadi “sunyi” akibat PKP Bersyarat, Amethriftstore mengalami krisis lambakan lebih 1,000 helai pakaian.

Selama tiga bulan meniaga di Instagram dengan posting foto-foto baju jualan, bisnes sangat perlahan. 

Selama tiga bulan berjualan termasuk pemdapatan ketika meniaga di jalanan, hasil jualan hanya meraih keuntungan sekitar RM500. Satu angka yang perit selepas tiga bulan berniaga. 

“Tapi kami tak putus asa, kami beranikan diri dan memilih cara menjual live di Instagram,” kata Iqbal. 

Konsep jualan Amethriftstore juga segera diubah. Fokusnya kini, menjual secara “tokol” (iaitu pakej enam ke sepuluh helai pakaian dalam satu ikatan plastik telus). 

“Pelanggan mempunyai pilihan dengan membayar hanya RM60 ke RM100 dan mendapat lebih banyak pakaian,” katanya. 

Walaupun produk Amethriftstore berbaloi antara kuantiti, kualiti dan harga, masalah utama “live” ialah mendapatkan trafik pembeli. 

Lebih 400 rakan-rakan Instragram Amethriftstore adalah kenalan remaja dan pengikut sebaya. 

“Walaupun murah, poket remaja sangat terhad. Kami bertemu dengan penonton yang sama setiap kali bersiaran 3 kali seminggu,” katanya. 

Trafik yang statik menyebabkan kualiti jualan sangat perlahan. 

“Nak jual satu tokol pun susah,” kata Iqbal. 

Kolaborasi trafik sebagai usaha strategik 

Semangat dan konsep perniagaan Amethriftstore secara “live” di Instagram sangat menakjubkan. Cuma trafiknya kecil. Secara berani, Iqbal menghubungi Garasi TV yang memiliki trafik pengikut melebihi 58,000. 

Dua anak muda ini meminta peluang tampil mempromosi produk mereka dan meminta Garasi TV berkongsi aliran trafik pembeli.

Konsep berkongsi trafik dengan memindahkan 58,000 rakan (follower) Garasi TV ke Instgram Amethriftstore satu usaha kolaborasi. 

Ini usaha membantu Amethriftstore mendapatkan trafik berkuasa beli “dewasa” masuk ke Instagram mereka dan meningkatkan daya jualan. 

Cara saling membantu berkongsi trafik amat mudah. Iqbal muncul sebagai tamu di Garasi TV. Selain 30 minit ditemubual mengenai perjuangannya menjadi peniaga bundle pada usia 18 tahun, produk Amethriftstore turut dipromosikan. 

Tiga tokol pakaian RM60 serta 10 pakaian gred A berharga antara RM80 hingga RM250 berjaya dijual. Amethriftstore berjaya mendapatkan jualan RM1,200 dalam tempoh 30 minit. 

Selain menerima 300 pengikut baharu dari Facebook Garasi TV ke Instagram mereka melalui kempen peralihan trafik. 

“Sejak itu, setiap kali live, kami menerima ramai pembeli baharu dari trafik Garasi TV,” kata Iqbal. 

Dalam dunia “live streaming”, jualan langsung akan memberikan lebih mod kepada membeli untuk lebih aktif berkomunikasi secara langsung dengan penjual. 

“Live streaming” dengan konsep soal jawab dan pameran produk jualan dapat dilakukan secara lebih details. Malah, pembeli boleh tawar menawar harga melalui posting ketika bersiaran. 

“Live streming” kini memacu perniagaan baru di platform media sosial. Malah, memberikan lebih nilai komunikasi dan promosi berbanding “post and park” poster atau foto secara gaya lama. 

Selamat maju jaya Amethriftstore! – 22 November, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen