Pelancongan tempatan di Sarawak terjejas akibat PKPB di Kuching


Desmond Davidson

Larangan perjalanan keluar masuk di Kuching, Sarawak akibat pengisytiharan zon merah Covid-19 menyaksikan tempahan untuk pakej pelancongan bersubsidi kerajaan negeri hampir sifar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2020.

KEMPEN pelancongan intra-negeri ‘Sia Sitok’ dirancang untuk mendorong pelancongan tempatan dan menaikkan industri pelancongan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Selepas Kuching diisytihar kembali menjadi zon merah Covid-19 dan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang turut termasuk larangan perjalanan keluar masuk di situ menyaksikan tempahan untuk pakej pelancongan bersubsidi kerajaan negeri hampir sifar.

Sia Sitok dalam bahasa Melayu Sarawak bermaksud “sana-sini” dan kerajaan negeri melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memberi subsidi 50% untuk pakej pelancongan.

Kempen ini membolehkan rakyat Sarawak dan bukan Sarawak – tinggal di negeri ini sebagai penduduk tetap atau bekerja dengan permit kerja – untuk melakukan perjalanan dalam negeri.

Kempen itu yang tempahannya dibuka mulai 4 Ogos juga memberi keistimewaan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 – pekerja perubatan dan kesihatan, doktor dan jururawat warga asing, polis, Rela, anggota bersenjata, anggota Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kakitangan jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) menyediakan platform tempahan dan pintu masuk pembayaran untuk kempen tersebut.

Sebanyak 30 tarikan, lawatan dan aktiviti di Kuching, SIbu, Mukah, Bintulu, Miri dan Mulu merangkumi lawatan sehari serta lawatan tidak bermalam serta perjalanan berbayar sehari penuh dengan penginapan dan makanan.

Pakej ini dirancang untuk pelancong tunggal, pasangan, keluarga dengan anak-anak dan terutama yang memerlukan percutian hujung minggu.

Antara pakej yang tersedia ialah pelayaran melihat matahari terbenam di Sungai Sarawak, pelayaran melihat ikan lumba-lumba Irrawaddy di Santubong, melihat burung di Taman Nasional Kubah, aktiviti menyelam di Pulau Satang, meneroka Kuching National Wetlands Park, Taman Negara Bako, lawatan penuh ke Tanjung Datu, bermain golf di Eastwood Golf Club di Miri, Sungai Rajang dan lawatan rumah panjang, lawatan siang hari di kawasan desa Bitangor dan Sarikei, 2 hari / 1 malam menjelajah Bintulu,  3 hari 2 malam meneroka penemuan di Mukah – Tanah Melanau dan Gua Silabur.

Sejak PKPB dikuatkuasakan di Kuching pada 10 November, Sarawak Forestry Corporation yang menguruskan hutan simpan dan taman seperti Taman Nasional Bako di Kuching dan Taman Nasional Mulu, kesemuanya ditutup sehingga PKPB ditarik semula.

“Sangat sukar untuk menjual pakej sekarang,” kata Mok Venia, Pengarah Urusan Cat City Holidays.  

Venia juga berkata bahawa lebih separuh daripada pakej itu adalah untuk perjalanan di daerah Kuching dan lima pakej teratas – pelayaran melihat matahari terbenam di Sungai Sarawak, lawatan berkayak di Padawan, lawatan mencabar di Kpg Sting, Taman Nasional Bako, melihat ikan lumba-lumba di Pulau Satang – semuanya di sekitar Kuching.

“Sukar untuk dijual ketika taman dan hutam simpan ditutup serta mereka yang datang dari luar Kuching tidak mendaftar kerana tidak dapat melakukan perjalanan ke bandar berkenaan,” katanya.

Statistik STF menunjukkan bahawa pelayaran melihat matahari terbenam di Sungai Sarawak adalah yang paling popular dalam pakej Sia Sitok.

Statistik SFC sebaliknya menunjukkan bahawa sebelum PKPB pertama, Taman Nasional Bako paling banyak dilawati atau pusat pemulihan hidupan liar yang paling kerap dikunjungi. – 22 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen