Portugal lanjut perintah darurat kesihatan


Sejak 9 November, Portugal melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam, dan mulai jam 1 petang pada hujung minggu. – Gambar EPA, 21 November, 2020.

PORTUGAL, yang kini menghadapi gelombang kedua pandemik Covid-19, melanjutakn perintah darurat kesihatan sehingga 8 Disember bagi membandung jangkitan.

Presiden Marcelo Rebelo de Sousa ketika mengumumkannya semalam berkata beliau telah menandatangani dekri melanjutkan darurat yang pada mulanya dijadual tamat Isnin depan.

De Sousa juga memberi amaran perintah darurat tidak mustahil akan dilanjutkan lagi kelak.

“Perintah darurat akan berjalan selagi mana ia diperlukan untuk memerangi pandemik ini,” katanya secara langsung di saluran televisyen semalam.

Presiden itu menambah, walaupun gelombang kedua Covid-19 dijangka capai kemuncak pada hujung November atau awal Disember, Portugal berkemungkinan akan menghadapi gelombang ketiga pada awal Januari depan.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Kabinet mengadakan mesyuarat khas mengenai langkah memutuskan jangkitan Covid-19.

Sejak 9 November, penduduk di kawasan paling teruk terjejas dikenakan perintah berkurung pada waktu malam, dan mulai jam 1 petang pada hujung minggu. Penduduk juga diwajibkan bekerja dari rumah. – AFP, 21 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen