Penganjur acara India rayu majlis kecil dibenarkan


Elill Easwaran

Presiden Persatuan Acara India Malaysia Sivakumar Kuppusamy berkata mereka tiada pendapatan langsung sepanjang penguatkuasaan PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 November, 2020.

PENGANJUR acara dan majlis perkahwinan India merayu kepada kerajaan untuk membenarkan mereka mengadakan acara secara kecil-kecilan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Mereka berkata larangan dikenakan terhadap semua acara sepanjang tempoh ini memberikan kesan ekonomi yang teruk kepada mereka.

Presiden Persatuan Acara India Malaysia Sivakumar Kuppusamy berkata mereka tiada pendapatan langsung sepanjang penguatkuasaan PKP.

“Dengan membenarkan kami beroperasi, ia akan menyelamatkan 20,000 pekerja tempatan yang bergantung sepenuhnya dengan industri ini,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Konvensyen Shenga di Batu Caves hari ini.

“Kami juga minta kerajaan menurunkan kadar sewa dewan sebanyak 30%. Kami juga mahu bayaran caruman KWSP dan Perkeso dihentikan sementara bagi mengurangkan perbelanjaan kami.

“Kerajaan juga sepatutnya memperuntukkan geran RM5,000 sebagai bayaran one-off kepada pemain kecil dalam industri ini,” katanya.

Katanya, pemain kecil dalam industri ini ialah mereka yang menganjurkan dua hingga tiga acara dalam sebulan, dengan berskala kecil.

“Kerana pandemik ini, kira-kira 100 syarikat di bawah persatuan sudah gulung tikar,” katanya.

Pengurus acara Rajan Raman, yang juga pengarah RDA Banquet Hall, berkata selain penganjur acara, mereka yang terlibat dalam bidang dekorasi, solekan dan fotografi juga terjejas teruk.

“Kami masih terpaksa membayar sewa untuk dewan, sebab itu kami mohon bayaran bulanannya diberikan potongan,” katanya. – 20 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen