Perjalanan rentas negeri punca kes Covid-19 naik di Kelantan, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Lonjakan kes Covid-19 di Kelantan kerana perjalanan rentas daerah, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

KELANTAN dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selepas perjalanan rentas negeri menyebabkan lonjakan kes Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata salah satu sebab berlaku lonjakan kes di Kelantan adalah kerana mereka yang pulang dari zon merah negeri lain ke negeri itu.

“Satu sebab jangkitan berlaku di Kelantan adalah kes-kes dari zon atau daerah merah yang kembali ke negeri tersebut dengan membawa jangkitan. 

“Jadi kita bimbang, sebab ada banyak pergerakan dari satu daerah ke daerah lain, dari negeri ke negeri lain. Jadi kebolehjangkitan itu adalah tinggi.

“Misalnya mereka yang dari kluster di Cheras, Lembah Klang dan Negeri Sembilan pulang dan menjangkiti orang lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Kelantan bermula 21 November hingga 6 Disember susulan berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Dr Noor Hisham menjelaskan perkara itu mencetuskan kebimbangan kerana ramai orang yang merentas negeri dan ia boleh meningkatkan kadar kebolehjangkitan.

“Kami juga bimbang tentang kluster, kerana dalam tempoh pendek virus boleh merebak jauh sehingga ke Besut (Terengganu) dan kawasan lain.”

Katanya, satu-satunya cara untuk mengekang penularan wabak adalah terus tinggal di rumah masing-masing.

“Kami harap semua penduduk Kelantan akan tinggal di rumah. Jika mereka perlu keluar patuhilah prosedur operasi standard.

“Jika mereka tinggal di rumah, negeri (Kelantan) akan dapat kembali ke perintah kawalan pergerakan pemulihan dalam dua minggu.”– 20 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen