Bubar segera Yayasan Wilayah Persekutuan, kata pembangkang


Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata YWP tidak patut dibenar menjalankan aktiviti menjual dan menyewa aset kerajaan termasuk papan iklan dan tapak parkir untuk kebajikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) yang didapati menjual 97 lot tanah kerajaan di Kuala Lumpur tanpa mengikut prosedur sah perlu dibubar segera, kata ahli Parlimen pembangkang.

Mereka mendesak demikian susulan pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum (PAC) yang mendapati yayasan itu bertindak sebagai syarikat untuk menjual tanah terbabit.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata syarikat tersebut tidak patut dibenar menjalankan aktiviti menjual dan menyewa aset kerajaan termasuk papan iklan dan tapak parkir untuk kebajikan.

“Ini semua aset harta kerajaan. Kenapa bagi syarikat berdaftar uruskan? Saya minta kerajaan bubarkan kegunaan dan kewujudan YWP.

“Kalau nak buat kebajikan melalui yayasan saya rasa boleh dibuat oleh Kementerian Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau DBKL bentuk jabatan khas untuk komuniti,” katanya.

Pada sidang media sama Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan wujud konflik kepentingan kerajan YWP dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

“YWP juga terlibat dalam penjuakan tanah DBKL yang asalnya dizonkan untuk kegunaan dewan orang ramai dan padang rekreasi tetapi dijual untuk pembinaan kondominium.

“Walaupun kejiranan telah bawa kes ke mahkamah dan masih berjalan, tetapi pemaju telah memulakan pembinaan dan penjualan unit, ia mesti diatasi dengan segera,” jelasnya.

Mereka bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen selepas pendedahan kes jualan tanah itu oleh PAC semalam.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan semalam berkata, jawatankuasa tersebut mendapati proses jualan tanah sejak 2011 itu juga didapati terlalu longgar.

Ia terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL serta warga Kuala Lumpur, katanya.

Beliau berkata PAC juga mendapati Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang juga berbeza daripada edisi yang dibentangkan kepada orang awam pada 2008.

“Draf pelan yang digazet belum pun mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain menteri, datuk bandar kuala lumpur juga didapati memegang jawatan dalam pengurusan YWP.

Status YWP sebagai syarikat bawah Akta Syarikat pula menyebabkan badan itu tidak dapat diaudit oleh Jabatan Audit Negara, menurut PAC. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen