Hidup penghuni flat makin terseksa ditekan pandemik


Zaim Ibrahim

Kajian Unicef Malaysia menunjukkan setiap satu dari dua keluarga yang menghuni pangsapuri kos rendah kini hidup di bawah paras kemiskinan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

KESAN pandemik Covid-19 kini semakin buruk sehingga menyebabkan penghuni flat tidak mampu menanggung kos hidup walau tinggal di pangsapuri kos rendah.

Penghuni ini memberitahu The Malaysian Insight, taraf hidup mereka semakin merudum apabila kehilangan peluang kerja serta perniagaan.

Seorang daripadanya Muhammad Hafiz Ismail, seorang peniaga alat ibadat Muslim yang sebelum ini mampu meraih lebih RM2,000 dengan berniaga di perkarangan Masjid Jamek Seberang Jaya.

Sebelum pandemik Covid-19 menular, pemuda 25 tahun itu berkata, beliau tetap mendapat hasil dari jualan minyak wangi, sejadah, dan tasbih sepanjang operasi dari siang hingga malam.

Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac lalu, beliau tidak dapat lagi berniaga di masjid di Permatang Pauh itu hingga sekarang.

“Dahulu boleh menyimpan lebih kurang RM500. Hasil berniaga bulan-bulan bolehlah dapat RM2,000 lebih.

“Sejak PKP Mac lalu, hasil pendapatan turun banyak sebab tak boleh berniaga di masjid. Sejak Mac lagi, saya tidak mampu menabung.

“Duit yang ada kadang cukup kadang tidak cukup untuk komitmen-komitmen lain,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Flat Taman Pauh Indah, Permatang Pauh.

Walau ada sedikit tabungan, beliau sedaya upaya cuba tidak menyentuhnya “untuk masa depan yang mungkin lebih susah”, kata Hafiz yang sudah beristeri dan mempunyai seorang anak.

Sejak tidak dapat berniaga, Hafiz dan isterinya seorang suri rumah mula menjual barangan peribadi untuk menampung sewa rumah dan ansuran kereta.

“Saya jual basikal untuk bayar ansuran kereta. Baru-baru ini van untuk berniaga pun saya jual berharga RM11,000.

“Pendapatan sekarang nak tampung komitmen bulanan pun susah, inikan pula nak menabung… memang tidak dapat,” jelasnya.

Hafiz menjelaskan, walaupun masjid sudah dibuka semula, perniagaan beliau terjejas kerana aktiviti perniagaan di kawasan perkarangan  masih belum dibenarkan.

“Sekarang saya niaga dalam talian. Pendapatan bulanan beberapa ratus ringgit saja sebab, saya pun pertama kali cebur bidang perniagaan dalam talian.

“Untuk cari duit lebih, saya berdaftar sebagai ejen penjual alat penapis air dan apabila ada masa terluang, saya hantar makanan untuk Foodpanda,” jelasnya,

Beliau turut menerima bantuan Zakat Pulau Pinang sebanyak RM1,300 untuk perniagaannya yahg terjejas, namun ia tidak dapat menampung komitmen bulanannya yang mencedah hampir RM1,500.

“Ansuran kereta RM500, bayar sewa rumah pula RM350. Kemudian perbelanjaan harian lain untuk makan minum anak dan isteri hampir RM600.

“Untuk modal perniagaan saya simpankan RM600 hingga RM700 sebulan,” kata beliau.

Jelasnya, perniagaan dalam talian itu masih kurang mendapat sambutan, dan beliau tidak menerima pelanggan tetap seperti semasa operasi sejak lima tahun lalu di tapak niaga di masjid tersebut.

“Beza dengan jualan atas talian, saya masih baru jadi ambil masa untuk kembalikan keadaan kewangan seperti sebelum ini,” jelas beliau.

Seorang ibu tunggal lima anak, Noor Ikdzahuri Mohamed, 44, juga berdepan masalah sama untuk menabung kerana majikan tidak lagi memberi elaun kedatangan dan bayaran kerja lebih masa (OT).

Noor yang bekerja di sebuah kedai makanan ringan itu berkata beliau kerana kini hanya mampu meraih RM1,000 hingga RM1,200 sebulan dengan kadar gaji RM6 sejam.

“Dahulu ada elaun dan OT, kadang-kadang sebulan boleh dapat RM2,000 atau paling kurang RM1,600. Sejak PKP, syarikat pun terpaksa berjimat dan tidak beroperasi 24 jam seperti dahulu.

Pendapatan yang ada pun tidak cukup untuk perbelanjaan harian, tapi saya bernasib baik dapat bantuan zakat RM400 sebulan,” jelasnya.

Noor yang menetap Flat Desa Wawasan di Bukit Mertajam dengan sewa RM100 sebulan itu berkata beliau tidak mampu menyediakan akses Internet dan laptop untuk anaknya yang bersekolah.

“Sebabkan tidak mampu dan sukar ikuti kelas secara atas talian, anak saya Tingkatan 5 tidak mahu sambung belajar di sekolah.

“Beliau bekerja di kedai perabot dengan gaji harian, itu pun jika dapat panggilan untuk bekerja,” tambah Noor.

Beliau kini runsing dan tidak mampu merancang untuk memulihkan keadaan ekonomi keluarganya.

“Tak tahu nak cakap, tak tahu enam bulan lagi macam mana. Terfikir juga nak kerja lain dengan gaji lebih tinggi, tapi faktor Covid 19, nak cari kerja pun susah.

“Jadi lebih baik kita bertahan dengan apa yang ada dahulu,” ujar beliau.

Nasib dialaminya itu selari dengan hasil kajian Unicef Malaysia mengenai nasib dialami wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah akibat pandemik Covid-19.

Kajian itu yang dikeluarkan pada Oktober itu menunjukkan setiap satu dari dua keluarga yang menghuni pangsapuri kos rendah kini hidup di bawah paras kemiskinan

Kajian ke atas 500 keluarga di Kuala Lumpur itu mendapati 68% ketua isi rumah tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan keadaan ini lebih teruk berbanding tahun lepas.

Ia meliputi keadaan keluarga yang mempunyai anak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada Mei lalu.

Kajian terhadap 500 keluarga di Kuala Lumpur mendapati sekitar 37% responden didapati tidak mampu membeli makanan mencukupi sementara 35% tidak dapat membayar bil tepat pada waktunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

Kajian itu juga mendapati setiap tujuh daripada 10 ketua isi rumah sukar untuk memenuhi perbelanjaan asas.

Sekitar 37% daripada responden didapati tidak mampu membeli makanan yang cukup sementara 35% tidak dapat membayar bil tepat pada waktunya.

Hanya 14% ketua isi rumah menjangka status kewangan mereka akan pulih dalam tempoh enam bulan akan datang.

Kisah seperti itu dikongsi seorang tukang cuci, Noraini Mohamad Noor, 43, yang kini terpaksa mengurangkan perbelanjaan asas.

Suaminya yang sama-sama bekerja sebagai tukang cuci juga meraih pendapatan RM900 sebulan, dan mereka kini amat berkira-kira untuk berbelanja.

“Kalau sebelum PKP, kita beli makanan untuk stok sebulan… Contohnya gula boleh beli lima kilo, beras dua kampit, tapi sekarang apabila habis baru kita beli.

“Itu pun tengok keadaan kewangan cukup atau tidak untuk membeli,” jelasnya yang tinggal Projek Perumahan Rakyat Ampang Jajar di Permatang Pauh.

Noraini menambah, beliau terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 sebulan untuk perkhidmatan internet bagi pendidikan anak-anak mereka yang mengikuti kelas dalam talian.

Selain itu, mereka juga kehilangan peluang mendapatkan wang belanja tambahan kerana tidak lagi dapat berniaga, katanya.

“Dahulu waktu malam, saya dapat berniaga dengan untung RM70 ke RM80 sehari, tapi sebabkan Covid-19, kena ikut prosedur operasi standard (SOP), kami tak mampu teruskan perniagaan.

“Jadi saya dengan suami ketika kerja membersihkan bangunan, kita kumpul sampah-sampah yang boleh dikitar semula untuk dijual, dapatlah duit lebih sedikit,” katanya.

Katanya, ansuran kereta bulanan yang hampir RM600 menjadi cabaran yang besar kerana morotarium disambung semula permintaan untuk dilanjutkan juga gagal.

“Macam mana pun, saya akan simpan RM600 sebulan untuk bayar ansuran kereta. Nampak gaya, keadaan lambat lagi nak pulih.

“Jadi saya dan suami ikhtiarlah apa-apa untuk terus kehidupan,” tambah beliau. – 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen