Anak Fadzil Noor teruskan perjuangan politik dengan amanah ayah


Melati A. Jalil

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil berkata isu utama sekarang ialah masalah belia seperti pengangguran dan perumahan serta gaji minimum rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight mendekati bintang politik muda dan baharu yang sedang digilap oleh parti mereka untuk jadi calon. Antara rungutan pengundi ialah kurangnya muka baharu apabila pemimpin politik termasuk pembangkang adalah mereka yang sudah giat dalam politik sejak 1980-an. Di manakah anak muda untuk membawa Malaysia ke depan?

The Malaysian Insight menemu bual anak allahyarham presiden PAS Fadzil Noor.

 

BELIAU anak allahyarham presiden PAS Fadzil Noor tetapi Faiz Fadzil mahu melukis peta perjalanan politiknya atas namanya sendiri.

Peguam berusia 40 tahun ini berkata semasa ayahnya masih ada dan mengetuai parti Islam itu antara 1989 hingga 2002, beliau tidak pernah memberi restu kepada anak-anaknya untuk memegang sebarang jawatan dalam parti.

Sejak awal, saya tak pernah guna nama ayah (dalam kerja atau dalam politik). Saya diasuh untuk berdikari walaupun orang tidak dapat lupa legasi tinggalan beliau.

“Ia memberi sedikit kesan kepada imej dan karier politik saya,” kata Faiz kepada The Malaysian Insight.

Faiz meninggalkan PAS dan menyertai Amanah, parti serpihan yang dibentuk pada 16 September, 2015. Kebanyakan ahlinya datang dari kelompok progresif parti Islam itu yang tersingkir pada pemilihan di muktamar PAS beberapa bulan sebelumnya.

Perpecahan yang membenihkan Amanah itu berlaku selepas PAS memutuskan ikatan kerjasama dengan DAP dan PKR susulan perselisihan ideologi dan keinginan parti Islam itu menonjolkan imej Islam yang lebih konservatif.

Perpisahan itu jadi batu tanda tamatnya gabungan pembangkang atas nama Pakatan Rakyat, yang kemudian digantikan oleh Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk oleh PKR, DAP, Bersatu dan Amanah. PAS kini bergerak dalam satu lagi gabungan kerjasama politik yang lain bersama parti-parti kecil dengan nama Gagasan Sejahtera.

“Kalau ahli PAS masih ingat lagi perjuangan ayah saya, mereka sepatutnya bersama dengan Amanah,” kata Faiz, yang juga timbalan ketua pemuda Amanah.

Fadzil dikenang kerana pendekatan progresifnya dalam politik termasuk menjalin hubungan dengan DAP, Parti Keadilan Nasional, sekarang PKR, dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), membentuk kerjasama atas nama Barisan Alternatif untuk pilihan raya umum (PRU) 1999.

Di bawah kepimpinan, PAS menawan Kelantan, yang diperintah parti itu sejak 1990, dan kemudian Terengganu pada PRU 1999.

Beliau meninggal dunia pada 2002 dan digantikan oleh Abdul Hadi Awang, yang menjadi presiden PAS sampai sekarang.

Faiz yang juga anak kelima Fadzil, berkata isu yang jadi perhatian utamanya ialah masalah dihadapi oleh anak muda hari ini, seperti pengangguran dan perumahan serta gaji minimum rendah.

“Kami mahu melatih belia dalam bidang kemahiran dan vokasional serta memberi fokus kepada kesulitan mereka memiliki rumah, sesuatu yang kami sendiri pernah alami.

“Kita juga perlu melihat sistem pendidikan dan merombaknya dengan pelan jangka panjang. Misalnya menggunakan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik.

“Saya percaya ia dasar yang baik untuk meningkatkan (kecekapan) Bahasa Inggeris tetapi pelaksanaannya tidak seimbang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil yang juga anak kepada presiden PAS sebelum ini, Fadzil Noor berkata Amanah mahu melatih belia dalam bidang kemahiran dan vokasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

Beliau merujuk pada dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dihentikan selepas bantahan daripada kumpulan pejuang Bahasa Melayu serta kebimbangan ia akan menyebabkan pelajar luar bandar ketinggalan.

Lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata berkata beliau sedia bertanding dalam PRU14 jika dipilih oleh Amanah. Beliau juga sedia untuk memikul tanggungjawab jadi wakil rakyat.

Tanggungjawab itu sememangnya sudah difahami sejak mula memutuskan mahu jadi seorang ahli politik.

Ditanya tentang kerusi yang akan ditandingi, Faiz berkata: “Saya tidak terlibat dengan rundingan kerusi tetapi tumpuan saya sebuah negeri di utara.”

Faiz yang baru-baru ini melancarkan buku pertamanya “Kleptokrasi Bukan Rahmat” pada Konvensyen Amanah di Kedah pada Oktober berkata beliau berharap dapat meneruskan nilai-nilai ayahnya dan berpegang pada Islam yang merayakan kepelbagaian dan menolak penyelewengan.

“Masalah dengan Melayu Islam ialah mereka gemar slogan, bukan saja dalam politik tetapi juga pada barangan sehari-harian. Mereka lebih tertarik pada sesuatu kalau disebut Islam.

“Dalam Islam, kita mesti faham bahawa isi lebih penting daripada rupa. Dalam politik, apa yang penting ialah nilai dan etika Islam.

“Kita tidak perlukan institusi Islam kalau pentadbirannya tidak (mengamalkan) nilai Islam.

“Macam dalam isu rasuah dan penyelewengan, yang tidak langsung mencerminkan Islam, malah hanya mencemarkan imejnya,” katanya. – 20 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tidak kesah lah nak ikut apa pon janji bekerja dgn ikhlas & pikul amanah yg diberikan rakyat dgn betul..jgn dah menang lupa semua amanah & janji yg dibuat tu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Satu bintang kita nampak. Bagus Faiz!

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan