Pejuang jawab PKR, usah kelahi perkara remeh


Noel Achariam

Pembangkang seharusnya berhenti bertelagah terutamanya tentang perkara yang begitu trivial dan kecil, Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

TUDUHAN bahawa Dr Mahathir Mohamad menghalang usaha Pakatan Harapan untuk memulihkan mandat rakyat sebagai gelojoh dan tidak berasas, kata Ulya Aqamah Husamudin.

Ketua Penerangan Pejuang itu berkata pembangkang seharusnya berhenti bertelagah terutamanya tentang perkara yang begitu remeh dan kecil. 

“Cari titik tengah persamaan, gembleng usaha dan bekerjasama menolak kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat,” kata Ulya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas gesaan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin terhadap Dr Mahathir supaya berhenti mengagalkan usaha Pakatan Harapan yang mahu mengembalikan mandat rakyat.

Shamsul berkata demikian selepas Dr Mahathir mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak akan menjadi perdana menteri yang bagus kepada Malaysia kerana tidak mampu mengeluarkan negara ini daripada krisis ekonomi.

Shamsul berkata bekas perdana menteri itu dilihat seperti terdesak untuk kekal relevan dalam politik.

Ulya berkata jika Dr Mahathir mahu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beliau sebenarnya adalah calon Perdana Menteri PN. 

Namun katanya,  Dr Mahathir tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan beliau bersedia dibuang dari parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat rakyat dan mengotakan janji kepada komponen PH. 

“Andai Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan, Bersatu dan kumpulan Azmin Ali sewaktu itu tetap akan keluar daripada PH dan tetap akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan jatuh. 

“Sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi beliau sendiri memberitahu angka ini tidak termasuk Pejuang. 

“Hakikatnya PKR terlebih awal tidak mahu bekerjasama dengan pihak Pejuang dan lebih memeranjatkan sanggup bersekongkol dengan Umno termasuk beberapa ahli politik kleptokrat,” katanya.

Ulya juga mempersoalkan tuduhan dilemparkan kepada Dr Mahathir dan Pejuang sedangkan  Anwar sendiri tidak membincangkan soal sokongan.

“Jika diamati kenyataan yang dibuat Dr Mahathir baru-baru ini, jelas ia tiada kena mengena dengan Langkah Sheraton dan hanya merujuk kepada pengalaman sewaktu menjadi Perdana Menteri keempat. 

“Malahan, kenyataan ini adalah konsisten dengan apa yang ditulis didalam buku Doktor Umum. Namun begitu, pada akhirnya, Dr Mahathir tetap serahkan kepada umum untuk menilai sendiri prestasi beliau.” – 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen