Dr Mahathir patut berhenti gagalkan Pakatan, kata PKR


Dr Mahathir Mohamad patut bermuhasabah kerana jadi punca ketidakstabilan politik negara, kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

DR Mahathir Mohamad patut berhenti mengagalkan usaha Pakatan Harapan yang mahu mengembalikan mandat rakyat, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua penerangan PKR itu berkata sejak kebelakangan ini bekas perdana menteri itu nampaknya terdesak untuk terus dilihat kekal relevan dalam arus politik perdana.

“Serangan beliau terhadap Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan.

“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam mempertahankan Agenda Reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan kenyataan Dr Mahathir bahawa Anwar tidak akan menjadi perdana menteri yang baik untuk Malaysia kerana beliau tidak mampu mengemudi negara mengharungi krisis kewangan.

Dakwanya, perkara itu terbukti pada 1997 apabila beliau membenarkan Anwar, yang ketika itu timbalan perdana menteri, untuk menguruskan Krisis Kewangan Asia selama dua bulan ketika beliau bercuti.

Dr Mahathir juga berkata Anwar malah tidak melibatkan dirinya atau parti baharunya, Pejuang, dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

“Walaupun Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan, saya dan beberapa orang lagi sanggup bekerja dengan Pakatan Harapan untuk mengembalikan kerajaan pilihan rakyat.

“Kita boleh dapat majoriti tetapi kita dapati bahawa Anwar menolak kerjasama dengan kita, dengan saya terutamanya.

“Kalau menolak saya, saya tidak boleh (dapatkan) lebih ramai untuk menyokong Pakatan Harapan supaya kita boleh dapat jumlah yang mencukupi, sebab itu kita tidak jadi kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad mendakwa Anwar Ibrahim tidak mampu menjadi perdana menteri yang bagus untuk Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

Shamsul dalam kenyataan hari ini pula berkata, Dr Mahathir yang berundur tanpa berunding dengan kepimpinan PH sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Tindakan itu sehingga menyebabkan Muhyiddin Yassin bersama Bersatu dan beberapa parti lain berjaya membentuk kerajaan, katanya lagi.

“Oleh yang demikian, dalam usaha Anwar dan pimpinan PH menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas, Dr Mahathir perlu menghentikan tindakan-tindakan beliau yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan PH serta menggagalkan usaha tersebut.”

Tambahnya, Dr Mahathir wajar bermuhasabah dan menyedari punca ketidakstabilan politik yang berlaku sekarang adalah disebabkan tindakannya.

“Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya.” – 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen