Amanah bincang hala tuju parti, kata sumber


Mohd Farhan Darwis

Amanah berbincang untuk atur strategi mengukuhkan parti, ketika kerajaan PN yang mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat mungkin tumbang, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

AMANAH mengadakan perbincangan hujung minggu ini, kata sumber parti, bagi mengatur strategi mengukuhkan parti, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat boleh tumbang atau perdana menteri memohon Parlimen membubarkan Parlimen pada bila-bila masa.

Tiga pemimpin parti memberitahu The Malaysian Insight, Amanah akan berbincang antara lain untuk menentukan pendirian parti sekiranya terpaksa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada waktu yang terdekat.

“Retreat ini nak bincang tentang macam mana Amanah dan PH (Pakatan Harapan) nak kekal bertahan dalam PRU15.

“Tinggalkan PH bagaimanapun bukan pilihan kami,” kata seorang pimpinan kanan Amanah, dengan syarat tidak dinamakan.

Seorang lagi pimpinan Amanah mengesahkan ada perbincangan parti pada hujung minggu ini namun enggan mengulas lanjut, sementara seorang lagi memberitahu perbincangan itu tertutup dan tiada hebahan rasmi mengenainya.

The Malaysian Insight turut difahamkan ada keresahan dalam kalangan sesetengah pemimpin dan ahli parti apabila Pengerusi PH Anwar Ibrahim membuka rundingan dengan pemimpin Umno untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Keresahan itu antara lain menjadi pencetus utama perbincangan Amanah pada hujung minggu ini, kata seorang sumber.

“Sepanjang proses berkenaan isu peralihan kuasa oleh Anwar, kami di Amanah relakan saja.

“Beliau tidak adakan perbincangan langsung dengan kami. Walaupun kami terasa hati tetapi kami biar Anwar teruskan,” katanya.

Bukan saja Amanah tidak dibawa berbincang lebih awal, sebaliknya DAP yang juga dalam PH pun tidak juga dimaklumkan mengenai rundingan itu, tambah sumber.

Difahamkan ada keresahan dalam kalangan pemimpin dan ahli Amanah apabila Pengerusi PH Anwar Ibrahim buka rundingan dengan pemimpin Umno untuk membentuk kerajaan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

Pada hujung September, Anwar mengumumkan beliau ada sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada 13 Oktober, Anwar mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan sokongan majoriti yang ada padanya, dipercayai termasuk ahli Parlimen Umno.

Pada minggu sama, tersebar satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno dan ahli Parlimen Bagan Datuk serta Najib Razak selaku penasihat Barisan Nasional merangkap ahli Parlimen Pekan.

Surat itu menyembah maklum bahawa mereka dan “sejumlah ahli Dewan Rakyat Umno” menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan memberi sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Pejabat Umno menafikan ada mengeluarkan surat tersebut.

Selepas dua mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada minggu berikutnya, Zahid mengumumkan Umno kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin dalam kerajaan PN.

Mesyuarat itu berlangsung selepas Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan nasihat Jemaah Menteri untuk pengisytiharan darurat bagi membendung penularan Covid-19, pada 25 Oktober.

Cadangan kerajaan Muhyiddin untuk mendapatkan pengisytiharan juga dikritik hebat oleh pelbagai pihak yang melihatnya sebagai helah untuk terus bertahan ketika majoriti kerajaannya dipertikaikan. – 14 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen