PUTERA Mahkota Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad al-Khalifa, dilantik sebagai perdana menteri pada Rabu selepas kemangkatan datuk saudaranya, yang memegang jawatan itu sejak 1971.
Putera Khalifa bin Salman al-Khalifa, perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia, meninggal dunia pada usia 84 ketika menjalani rawatan perubatan di Amerika Syarikat, umum media kerajaan.
Putera Khalifa adalah tokoh kontroversi selama lima dekad memegang jawatan, dituduh menentang reformasi dan menahan aktivis. Beliua juga sangat tidak popular di negara majoriti Syiah yang dikuasai Ahli Sunnah.
Ketika para penunjuk perasaan yang dipimpin oleh Syiah menduduki Pearl Square di Manama selama sebulan pada 2011, sebelum diusir oleh pasukan keselamatan yang disokong oleh Arab Saudi, permintaan utama mereka adalah agar Putera Khalifa meletak jawatan.
Penggantinya yang berpendidikan Barat, sebaliknya cuba membina hubungan dengan pihak yang menentangnya.
Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat dan Britain - termasuk ijazah sarjana dari Universiti Cambridge - beliau berkhidmat sebagai naib perdana menteri pertama dan merupakan timbalan komandan tertinggi Angkatan Pertahanan Bahrain.
Raja Hamad mengeluarkan keputusan kerajaan melantik anaknya sebagai ketua Majlis Menteri berkuatkuasa serta merta, kata Pasukan Pertahanan Bahrain.
Pengebumian Putera Khalifa akan dilakukan selepas jenazahnya dibawa pulang, dan memandangkan sekatan koronavirus, bilangan kerabat yang hadir dihadkan.
Kerajaan akan mengadakan minggu berkabung rasmi, dengan bendera akan dikibarkan setengah tiang. Kementerian dan jabatan kerajaan akan ditutup selama tiga hari. – AFP, 12 November, 2020.
Komen