ISRAEL menghantar permohonan rasmi untuk membuka kedutaan di Manama, Bahrain, lapor Agensi Berita Sputnik.
Surat yang mengandungi permohonan rasmi oleh Menteri Luar Israel Gabi Ashkenazi itu diserahkan oleh Ketua Turus Haim Regev kepada rakan sejawatan Ashkenazi, Abdullatif bin Rashid Alzayani pada Ahad.
Haim Regev dalam rangka lawatan ke Manama bersama delegasi Amerika Syarika(AS), memetik akhbar Yedioth Ahronoth.
Delegasi AS dan Israel itu masing-masing diketuai Setiausaha Perbendaharaan Steve Mnuchin dan Penasihat Keselamatan Israel Meir Ben-Shabbat manakala Manama diwakili Setiausaha Kementerian Luar Abdullah bin Ahmed Al Khalifa.
Dalam pertemuan itu, Bahrain dan Israel menandatangani kenyataan bersama untuk menjalin hubungan diplomatik dan perdamaian, serta tujuh memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang kerjasama.
Pengukuhan hubungan antara Israel dan Bahrain adalah susulan Perjanjian Abraham oleh kedua-dua negara, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dimeterai pada 15 September di Rumah Putih.
Bahrain dan UAE menjadi negara Arab ketiga dan keempat yang secara rasmi memulihkan hubungan dengan Israel, selepas Mesir pada 1979 dan Jordan 1994. – Bernama, 19 Oktober, 2020.
Komen