Politik Malaysia bukan di media sosial, kata ketua Pemuda Bersatu


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Politik Malaysia politik akar umbi bukan politik media sosial, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 November, 2020.

POLITIK Malaysia bukan ditentukan di media sosial tetapi diukur daripada sokongan rakyat di akar umbi, kata Ketua Pemuda Bersatu yang terpilih Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Media sosial tidak boleh menjadi kayu ukur untuk menentukan sokongan rakyat kepada mana-mana parti politik atau pemimpin, malah ia belum tentu diterjemahkan kepada undi dalam pilihan raya, katanya.

“Politik sosial media dengan politik akar umbi tak sama. Walaupun di media sosial kita gah dan punya kekuatan dari segi pengikut, itu tak jamin atau dilihat sebagai terjemahan sokongan atau undian dari akar umbi

“Apa yang penting kemampuan parti politik atau pemimpin itu menyantuni rakyat,” katanya, dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Senator yang dilantik timbalan menteri belia dan sukan itu diminta mengulas parti baharu, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diasaskan oleh bekas ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas tersingkir dari Bersatu.

Parti itu yang dilihat menarik perhatian golongan muda bandar itu popular dan aktif di media sosial, dengan lebih 51,000 pengikut di Twitter dan lebih 20,000 di Facebook.

Muda mendakwa sudah mendaftarkan lebih 30,000 ahli atau pendukung yang digelar “Geng Muda”.

Parti ini sedang menunggu kelulusan pendaftaran, selepas mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos lalu.

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa sudah mengumpul lebih 30,000 ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, beliau tidak ragu akan kemampuan Syed Saddiq untuk menerajui Muda kerana bekas menteri belia dan sukan itu sangat prihatin dengan nasib dan masa depan anak muda.

Beliau juga tidak merasakan Muda sebagai satu ancaman kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kerana mereka bergerak di landasan masing-masing yang berbeza.

Pemuda Bersatu, katanya, akan tetap kekal relevan dalam politik Malaysia yang masih berasaskan kaum. Beliau juga yakin sayap pemuda di bawah pimpinannya akan membantu Bersatu meraih sokongan akar umbi, terutama di luar bandar.

“Saya punya rasa hormat yang tinggi pada parti Muda yang diasaskan sahabat saya. Beliau memang seorang yang passionate membela hak belia. Saya tahu dan kenal rapat kekuatan beliau.

“Namun realiti di negara ini, kita masing-masing mengamalkan politik berasaskan kaum sebab itu Armada masih lagi relevan kerana kita tawarkan fahaman semangat kebangsaan yang segar… tidak dibebani dan dibayangi dengan skandal,” katanya.

Muda tidak akan jadi ancaman kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kerana mereka bergerak di landasan masing-masing yang berbeza, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 November, 2020.

Surat sokongan bukan jaminan

Wan Ahmad Fayhsal, yang pernah terjerat kontroversi “surat sokongan” semasa kempen pemilihan sayap itu, berkata isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya di peringkat akar umbi.

Ia hanya usaha untuk membantu belia di luar bandar yang banyak ketinggalan untuk mendapatkan manfaat kerajaan, katanya.

Namun beliau mengulangi surat sokongan yang beliau tawarkan dengan kedudukannya sebagai senator dan timbalan menteri pada akhirnya bukan jaminan akan dapat kontrak atau sesuatu daripada kerajaan.

“Kita bantu sebagai ahli politik. Ini bukan benda salah… surat sokongan bukan jaminan dapatkan sebarang projek jawatan. Ini hanya untuk memudah cara golongan belia yang terpinggir, khususnya di luar bandar, agar mereka diberi peluang sama, dapat layanan dan bantuan daripada kerajaan 

“Itulah konteks sebenar ketika saya berucap (mengenai surat sokongan) kepada Armada,” katanya.

Politik Malaysia adalah politik berasaskan kaum dan ia parti politik kaum akan terus kekal relevan, kata Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 November, 2020.

Pada masa sama beliau juga menolak tanggapan surat sokongan adalah bentuk lain politik naungan, isu yang tegasnya ditentang oleh Pemuda Bersatu.

Jelas Wan Ahmad Fahysal, tidak semua amalan politik naungan merosakkan, selagi ia tidak melanggar undang- undang.

Katanya, politik naungan yang ditentang oleh pihaknya ialah yang membawa kepada budaya feudal baharu yang merosakkan masyarakat.

“Politik naungan yang kita tentang ini bersifat merosakkan tapi tidak semua politik naungan berbentuk buruk… kerana selagi ia tidak melanggar undang- undang dan membenih budaya bersifat feudal melampau, saya rasa itu munasabah,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal dikritik hebat setelah satu rakaman video menunjukkan beliau berjanji menggunakan jawatannya bagi mengeluarkan surat sokongan 

Video itu dirakam ketika beliau mengadakan pertemuan dengan anggota Pemuda Bersatu di Pahang, menjelang pemilihan sayap tersebut yang berakhir pada 15 Ogos tahun lepas.

Dalam pemilihan Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal memenangi jawatan ketua Pemuda menewaskan pesaingnya, Mohd Muzzammil Ismail. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen