Timbalan menteri Bersatu jadi bahan ketawa kerana tawar surat sokongan


Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal jadi bahan ketawa pembangkang dan pengguna media sosial selepas videonya menawarkan surat sokongan tular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

TINDAKAN seorang timbalan menteri Bersatu menawarkan surat sokongan semasa berkempen untuk jawatan parti menjadi bahan ketawa pembangkang dan pengguna media sosial.

Ia bermula apabila muncul video menunjukkan Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menawarkan untuk mempermudah urusan ahli Armada melalui surat sokongannya.

Dalam rakaman itu, calon ketua Pemuda Bersatu tersebut berkata beliau boleh mengeluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri dan ketua sayap tersebut.

“Dan saya sebagai timbalan menteri, dan Insya-Allah, ketua Armada Nasional, akan permudahkan.

“Bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri, sebagai ketua Armada dan saya akan buat salinan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk perkukuhkan.

“Itu guna jawatan. Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang. Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya,” katanya dalam rakaman itu.

Beliau ditunjukkan sedang berucap di hadapan beberapa individu dipercayai anggota parti dalam video yang tular di media sosial itu.

Ia meraih pelbagai kritikan dan juga sindiran pelbagai pihak, termasuk daripada bekas menteri Pakatan Harapan (PH).

Antaranya, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke yang berkata amalan memberi surat sokongan tersebut tersebut dihentikan sewaktu pentadbiran gabungan parti itu.

Katanya, amalan tersebut dilarang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu taklimat khas oleh ketua pesuruhjaya waktu itu Mohd Shukri Abdull.

Katanya Mohd Shukri berpesan supaya menteri dan timbalan menteri tidak sesekali mengeluarkan surat sokongan kepada sesiapa sekalipun, terutama ahli parti sendiri.

“Itu cara pentadbiran semasa zaman PH. Ya lah, menteri PH tak berkuasa. Datang lobi menteri pun tak guna. Semuanya tak boleh.

“Sekarang dah lain. Timbalan menteri pun dah cukup berkuasa. Surat sokongan dijadikan modal kempen pemilihan parti,” sindir Loke yang juga setiausaha publisiti DAP.

Mengulas isu sama, seorang lagi bekas menteri Saifuddin Nasution menyelar perbuatan itu yang menurutnya satu penyalahgunaan jawatan yang dibuat secara terang-terangan.

“Malangnya sudah terang lagi bersuluh, pendirian ini tidak dikongsi pimpinan Perikatan Nasional, sehingga ada timbalan menteri sanggup menyalahgunakan jawatan dengan secara terbuka menawarkan surat sokongan kepada ahli parti sewaktu berkempen untuk pemilihan sayap belia parti.

“Sungguh mengecewakan. Belia masa depan negara. Dengan pimpinan belia sebegini, apakah harapan masa depan negara?” katanya.

Saifuddin turut menyiarkan sekeping gambar Wan Fayhsal bersama Muhyiddin dengan kapsyen “timbalan menteri surat sokongan”.

Kenyataan tersebut juga menjadi bahan ketawa di media sosial apabila muncul gambar menunjukkan Wan Fayhsal yang digelar Wan Jargon dengan tulisan “Ini Guna Jawatan.” – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen