Saya maafkan anak murid saya, kata Cikgu Azizan


Asila Jalil Yasmin Ramlan

Azizan Manap atau Cikgu Azizan melambai kepada orang ramai yang terdiri daripada guru dan keluarganya ketika tiba perkarangan Mahkamah Majistret Seremban, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Disember, 2017.

Azizan Manap berlapang dada walau diheret ke mahkamah atas tindakannya mendisiplinkan murid bawah jagaan beliau.

Guru berusia 44 tahun itu berkata, beliau telah memaafkan murid serta keluarga kanak-kanak tersebut, yang membawa kes ke mahkamah sehingga beliau dituduh mencederakan pelajar terbabit.

“Saya maafkan anak murid saya dan keluarga mereka. Saya doakan mereka yang baik,” kata Azizan kepada pemberita sebaik keluar dari bilik perbicaraan Mahkamah Majistret Seremban.

Azizan turut menyatakan penghargaan pada rakan-rakan setugas yang hadir menyatakan sokongan di mahkamah hari ini.

“Saya berterima kasih kepada semua yang hadir, yang doakan saya dari jauh sampai ke Mekah pun doakan saya.

“Saya hargai semua sokongan dan sahabat. Saya anggap semua kalian semua adalah sahabat dan saudara saya,” katanya.

Beliau disambut dengan gembira oleh para penyokongnya itu, yang berhimpun di luar mahkamah sejak awal lagi.

Azizan Manap yang sepatutnya dibicarakan hari ini atas tuduhan mencederakan anak muridnya, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut oleh Mahkamah Majistret Seremban.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut mengembalikan wang ikat jamin RM500 kepada tertuduh.

Beliau bertugas sebagai penolong hal ehwal murid yang bertangungjawab ke atas isu disiplin di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai.

Azizan didakwa menampar seorang murid tahun lima, yang didakwa terlibat dalam kes disiplin berat termasuk menghidu gam, bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.

Kes ini menarik perhatian umum selepas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Jumaat lepas menggesa guru-guru hadir di mahkamah hari ini untuk memberikan sokongan dan solidariti kepada Azizan.

Kumpulan guru yang hadir ke mahkamah hari ini menunjukkan sokongan kepada Cikgu Azizan yang mereka sifatkan teraniaya kerana menjalankan tugas, sesuatu yang jarang dilihat dalam beberapa kes saman oleh ibu bapa terhadap guru sebelum ini. – 19 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen