Pembangkang mahu kerajaan pertimbang suara mereka tangani Covid-19


Noel Achariam Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata bahawa sebarang usaha untuk turut melibatkan pembangkang dalam mesyuarat itu mesti bersifat inklusif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

AHLI Parlimen pembangkang mahu suara mereka didengari dan bukan sekadar dijemput menghadiri mesyuarat rasmi kerajaan.

Mereka berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa beliau akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mengundang anggota pembangkang dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Covid-19.

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Muhyiddin mesti bersedia menerima cadangan daripada pemimpin pembangkang sekiranya mereka diminta untuk terlibat dalam pertemuan tersebut.

“Adakah dia akan menerima idea daripada pembangkang semasa mesyuarat itu? Atau adakah dia hanya akan dengar sahaja apa yang mereka katakan?

“Sekiranya dia tidak menerima cadangan dari pembangkang, apa perlunya undang kita ke mesyuarat,” katanya.

Semalam, Muhyiddin yang mempengerusikan kedua-dua mesyuarat itu berkata bahawa beliau mempertimbangkan kemungkinan untuk mengundang ahli Parlimen pembangkang ke mesyuarat kerajaan.

“Saya mahu inklusif. Saya ingin ada pembangkang dalam majlis yang saya sendiri pimpin, atau mungkin dalam taklimat harian Covid-19.

“Ini bukan untuk beri kredit kepada mereka, tetapi saya ingin mendengar dari pihak pembangkang mengenai cadangan mereka dan jika mereka dapat bawa idea yang baik untuk kepentingan rakyat,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata bahawa sebarang usaha untuk turut melibatkan pembangkang dalam mesyuarat itu mesti bersifat inklusif.

“Saya rasa usaha bipartisan untuk menolong rakyat Malaysia semestinya disambut baik tetapi usaha ini mestilah tidak hanya dalam cara tetapi mesti betul-betul dilaksanakan.

“Input pembangkang harus dianggap serius dan tidak hanya untuk tangkap gambar, agar Perikatan Nasional kelihatan inklusif di samping menghormati perbezaan pendapat.”

Ketua PKR Sarawak Larry Sng berkata bahawa beliau mempunyai perasaan yang bercampur-baur terhadap cadangan Muhyiddin tersebut.

“Saya mempunyai perasaan bercampur-campur dalam perkara ini, kerana saya percaya belanjawan tidak akan mencapai sasarannya hanya dengan mengammbil kira siapa yang berada dalam majlis tindakan ekonomi.

“Kita akan kehilangan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan untuk tahun depan kerana belanjawan kerajaan yang dilihat terlalu optimis.

“Pandemik global telah merosakkan rantaian bekalan global dan bahkan jika kita memajukan usaha mendapatkan vaksin Covid-19, ia memerlukan masa untuk dihasilkan dan membekalnya kepada 7.8 bilion orang di seluruh dunia.”

Sng berkata bahawa kerajaan seharusnya memberikan dana yang setara kepada semua ahli Parlimen bagi menangani perkara-perkara yang memberi kesan kepada rakyat.

“Apa yang harus kerajaan lakukan adalah mengakui bahawa kita tidak dapat terus menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Berikan dana kerajaan kepada semua ahli Parlimen agar kita dapat bersama-sama menangani semua perkara yang beri kesan kepada rakyat.

“Kita harus ketepikan politik kerana satu-satunya cara yang akan kita lalui dengan berjaya adalah jika kita semua bekerjasama,” katanya.

Menubuhkan jawatankuasa pilihan

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata bahawa Muhyiddin harus segera melaksanakan cadangannya dan bukan hanya setelah Belanjawan 2021 diundi di parlimen.

“Bincang dengan kami sebelum Belanjawan 2021 diundi di Parlimen, bukan hanya selepas belanjawan.

“Saya pasti tidak akan menyokong belanjawan Muhyiddin jika dia enggan susun semula belanjawan yang fokus terhadap krisis ekonomi sebenar di tengah pandemik Covid-19, dan ia harus benar-benar menolong mereka yang sangat memerlukan bantuan kewangan,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata bahawa kerajaan harus menubuhkan jawatankuasa pilihan pengurusan Covid-19 di Parlimen.

Cadang tersebut, katanya, sangat penting kerana isu-isu seperti pengurusan Covid-19 harus ditangani di Parlimen.

“Sekiranya perdana menteri serius maka dia harus memberanikan diri atau memperkasakan proses jawatankuasa pilihan.

“Sebagai contoh, kita mempunyai banyak wang yang masuk ke dalam pengurusan Covid-19. Tetapi, tidak ada jawatankuasa yang memantau apakah dana tersebut disalur ke kelompok sasaran.”

Beliau menambah bahawa perdana menteri sedang cuba tunjukkan usaha bagi membuktikan bahawa dia ingin bekerjasama dengan pembangkang.

“Kenapa nak buat begitu? Buat terus jawatankuasa pilihan dan biarkan mereka melapor ke Parlimen. Begitulah caranya.” – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen