4 laluan utama bawa masuk pendatang haram dikenal pasti


Alfian Z.M. Tahir

Komander NTF Laksamana Madya Aris Adi Tan Abdullah berkata setakat ini lebih 8,000 pendatang haram ditahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 November, 2020.

EMPAT laluan utama digunakan oleh sindiket untuk membawa masuk warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah ke negara ini, kata Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

Komander NTF Laksamana Madya Aris Adi Tan Abdullah memberitahu The Malaysian Insight, empat laluan utama itu adalah di utara, pantai timur, tenggara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Aris mengetuai NTF yang merupakan agensi terdiri daripada 19 badan keselamatan ditubuhkan pada Mei bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa dokumen perjalanan sah ketika negara cuba mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pendatang haram masuk melalui sektor utara, mereka menggunakan laluan darat dan air di sempadan Malaysia-Thailand. Laluan ini biasanya digunakan oleh warga Rohingya dan Myanmar. 

“Bagi mereka yang masuk melalui laluan air, penyeludup akan menggunakan laluan berhampiran Pulau Langkawi, sepanjang pesisir pantai Perlis dan Kedah dan bagi laluan darat, mereka biasanya menggunakan laluan tikus dari utara Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan,” kata Aris. 

Setakat ini, lebih 8,000 pendatang haram ditahan oleh pasukan keselamatan di bawah NTF. 

Antara Mei dan 4 November, NTF menahan 8,-31 individu kebanyakannya daripada Indonesia (3,699), Myanmar (1,047), Bangladesh (587), China (667), Rohingya (319) dan Filipina (339).

Turut ditahan warga asing dari Timur Tengah seperti Yaman, Sudan, Libya dan Iran serta dari warga Eropah dari United Kingdom (7), Sepanyol (1), Itali (1) dan Amerika Syarikat (7).

NTF berkata pemantauan ketat turut dilakukan di pantai timur Sabah dan sempadan Sarawak-Kalimantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

Aris berkata, laluan masuk di sektor pantai barat dan tenggara digunakan oleh sindiket untuk menyeludup buruh asing dari Indonesia. 

Di sektor pantai barat, mereka akan memasuki Tanjung Balai di Sumatera (pantai timur) hingga pulau Karimun, selatan Sumatera.

“Mereka akan mendarat di Bagan Datoh di Perak atau di Tanjung Piai di Johor.

“Bagi mereka yang datang dari tenggara, sindiket akan menggunakan pantai Sedili di Kota Tinggi dan Pengerang di Johor. Mereka akan melalui Pulau Bintan dan Batam di Indonesia,” katanya.

Operasi untuk membanteras pendatang haram dipergiat berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini. 

Operasi yang diberi nama Op Benteng, mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia selepas pihak berkuasa menahan ratusan pendatang haram termasuk wanita dan kanak-kanak ketika kemuncak pandemik pada Jun. 

Aris berkata NTF turut melakukan pemantauan ketat di pantai timur Sabah dan sempadan Sarawak-Kalimantan. 

“Pesisir pantai di Sabah sangat besar dan sebelumnya terdapat kejadian penculikan oleh kumpulan tertentu dari Selatan Filipina. Keselamatan di sini sangat ketat.

“Begitu juga dengan Sarawak. Terdapat kes-kes aktiviti melintasi sempadan dan penyeludupan barang dari Kalimantan barat,” kata Aris.

Dari Mei hingga November tahun ini, 12 pendatang tanpa izin disahkan positif Covid-19 semasa mereka tiba di negara ini.

Terdapat juga tiga kluster yang dikaitkan dengan pusat tahanan sementara yang menempatkan warga asing tanpa dokumen.

Tiga kluster tersebut adalah kluster Rumah Merah, PTS Sandakan dan PTS Tawau di Sabah. – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen