Belanjawan 2021 kurang pelan holistik bantu pekerja terjejas, kata panel webinar


Hailey Chung Wee Kye

Ahli panel mencadangkan agar skim perlindungan sosial yang sedia ada seperti SIP diperluaskan bagi melindungi mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig dan tidak formal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

BELANJAWAN 2020 tidak mempunyai strategi menyeluruh bagi melindungi golongan yang boleh terjejas berbanding menambah bantuan tunai dan kebajikan sosial, kata ahli panel yang berbincang mengenai belanjawan Perikatan Nasional.

Mereka mencadangkan agar skim perlindungan sosial yang sedia ada seperti Skim Insurans Pekerjaan (SIP), diperluaskan bagi melindungi mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig dan tidak formal.

Kata mereka skim itu juga perlu melindungi mereka yang diberhentikan kerja semasa pandemik Covid-19 dan kini terlibat dalam sektor terbabit.

Timbalan menteri industri dan perdagangan antarabangsa Dr Ong Kian Ming berkata peruntukan Bajet 2021 yang menawarkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan adalah terhad.

“Kumpulan yang terjejas ini dulunya kecil tetapi disebabkan Covid-19, golongan ini akan bertambah.

“Kita tidak melihat inisiatif kerajaan untuk menambah pendaftaran kumpulan ini dalam e-kasih (sistem pangkalan data kemiskinan negara),” kata beliau pada webinar anjuran Research for Social Advancement (REFSA).

Katanya kerajaan mungkin tidak mahu menambah jumlah pendaftaran kerana ia akan menyebabkan pertambahan peruntukan bantuan kewangan.

Dalam Bajet 2021, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) ditambah dengan peruntukan RM6.5 bilion bagi memanfaatkan 8.1 juta penerima berbanding RM5 bilion yang diberi kepada 4.3 juta penerima.

Selain itu, peruntukan tambahan diberikan kepada golongan kurang upaya, warga emas dan kumpulan terjejas lain yang berdaftar dengan jabatan kebajikan masyarakat.

Peruntukan yang diberikan adalah RM2.2 bilion berbanding RM700 juta yang diberikan Bajet 2020 dan bantuan ini akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima.

Penasihat ekonomi REFSA  Frederik Paulus berkata SIP perlu diperluas bagi melindungi pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig.

SIP yang diperkenalkan pada 2018 bertujuan membantu pekerja swasta yang diberhentikan kerja dengan bantuan kewangan sehingga enam bulan sementara mereka mencari kerja baharu.

Namun skim itu tidak melindungi pekerja domestik, pekerja sendiri, penjawat awam dan pekerja dalam pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun. – 7 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen