KKM perlu lebih peruntukan daripada Belanjawan 2021, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Selain usaha mendapatkan vaksin, bidang lain kesihatan juga harus diberi tumpuan seperti pencegahan dan kempen kesedaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan, yang berada di barisan paling depan dalam memerangi pandemik Covid-19, seharusnya mendapat peruntukan jauh lebih tinggi dari RM31.94 bilion di bawah Belanjawan 2021, kata seorang pakar kesihatan dan bekas menteri.

Mereka berkata bahawa ketika kerajaan memberi sebahagian besar peruntukan bagi membendung Covid-19 dan kajian vaksin, bidang kesihatan lain bagi usaha pencegahan atau promosi lain juga harus turut diberi tumpuan.

Mereka berkata bahawa peruntukan untuk kementerian tahun ini tidak jauh dari yang diberikan di bawah belanjawan tahun lalu berjumlah RM30.6 bilion.

Ahli epidemiologi Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, walaupun peruntukan untuk Covid-19 akan membantu bagi fasa ini, namun sektor kesihatan akan mendapat lebih manfaat jika mempunyai lebih banyak dana.

“Seperti yang diharapkan, kerajaan telah ambil keputusan untuk segera memerangi pandemik Covid-19 dan usaha mendapatkan vaksin.

“Jumlahnya agak serupa dengan yang telah dibelanjakan untuk tahun ini ditambah RM3 bilion yang diperuntukkan untuk vaksin Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya tidak pasti berapa dos yang diperlukan untuk pembelian vaksin, namun itu bergantung pada harga unit vaksin atau beberapa vaksin yang dipilih.”

Beliau menambah bahawa ada beberapa peruntukan untuk pusat latihan hospital bagi mengurus pesakit Covid-19 namun jumlahnya tidak besar dan dan perlu diluaskan di beberapa hospital lain.

Beliau bagaimanapun menyambut baik peruntukan RM100 juta untuk penyakit berjangkit.

Katanya lagi, sebahagian daripada dana ini harus disalurkan dalam menghasilkan modelan epidemiologi yang akan berguna dalam memerangi gelombang jangkitan Covid-19 ketika ini.

Selain itu, Dr Awang berharap dana akan disalurkan untuk menyegerakan usaha meningkatkan kualiti kit diagnostik Covid-19 yang dihasilkan secara tempatan, usaha itu akan mengurangkan kebergantungan pada antigen dan kit ujian RT-PCR yang diimport dari luar negara.

“Kita juga perlu melakukan penyelidikan sains tingkah laku untuk memperbaiki kelesuan pandemik yang boleh menjejaskan kesihatan, ekonomi dan sosio-budaya  kerana ia akan memberi kita beberapa data yang sangat diperlukan dan membantu Malaysia memperbaiki pelan pengurusan pandemik,” katanya.

“Ini tentu saja menjangkaui isu Covid-19. Saya tidak pasti kementerian atau kementerian mana yang akan mendapat peruntukan ini kerana kebanyakan penyelidik yang pakar dalam penyakit berjangkit ada di universiti,” tambahnya.

Dr Awang juga berkata pelepasan cukai untuk vaksin seperti pneumokokus dan influenza, akan membantu dalam hal mengurangkan masalah jangkitan pernafasan rakyat di Malaysia.

“Peningkatan pengecualian cukai dari RM6,000 hingga RM8,000 untuk perbelanjaan perubatan lain juga dialu-alukan dan peningkatan pengecualian cukai dari RM500 menjadi RM1,000 untuk pemeriksaan kesihatan juga dialu-alukan walaupun ini tidak berkaitan langsung dengan Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Awang juga berkata kekurangan peruntukan bagi bidang kesihatan pencegahan atau promosi adalah perkara yang perlu ditumpu selain yang disebutkan beliau.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menulis di Twitter beliau bahawa belanjawan harus menumpukan isu pengukuhan sektor kesihatan dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan mesti berbelanja! Jangan terlalu memikirkan defisit fiskal terutama dalam bidang kesihatan,” katanya dalam reaksi segera terhadap belanjawan.

“Emolumen (untuk) Pekerja Kontrak (adalah) RM1.9 bilion (dalam Belanjawan 2021). Oleh itu ia lebih rendah. RM31.94b - RM1.90b = RM30.04 bilion berbanding peruntukan PH sebanyak RM30.6 bilion.

“Perhatikan perbezaannya,” katanya.

Beliau mendakwa bahawa hal ini menunjukkan bahawa bidang seperti program perubatan, kesihatan awam, perkhidmatan farmasi serta penyelidikan dan sokongan teknikal akan mendapat peruntukan yang lebih rendah. – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen