Peguam negara tidak boleh wakil kerajaan dalam kes isu darurat, kata Mukhriz


Peguam Negara Idrus Harun yang menasihatkan kerajaan untuk memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak boleh diyakini akan mempertahankan keputusan baginda menolaknya, kata Mukhriz Mahathir.– Gambar Facebook, 4 November, 2020.

PEGUAM negara tidak boleh mewakili kerajaan Malaysia dalam tindakan saman pemula mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat Jemaah Menteri untuk pengisytiharan darurat, kata Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Peguam negara yang menasihatkan kerajaan untuk memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak boleh diyakini akan mempertahankan keputusan baginda menolaknya, kata presiden penaja Pejuang Mukhriz Mahathir.

“Sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, tentunya peguam negara akan mewakili kerajaan untuk menjawab soalan yang ditimbulkan oleh saman tersebut.

“Tidakkah ini merupakan konflik kepentingan? 

“Mana mungkin peguam negara yang menyediakan hujah bagi mewajarkan darurat diisytiharkan kini mempertahankan di mahkamah keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak pengisytiharan itu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mukhriz merujuk pada saman pemula yang difailkan oleh peguam Syed Iskandar Syed Jaafar terhadap kerajaan Malaysia pada 28 Oktober lalu.

“Saman tersebut tampak pelik dan menimbulkan banyak persoalan. 

“Saya harap pihak peguam tersebut dan kerajaan Malaysia selaku defendan dapat beri penjelasan,” kata Mukhriz.

Peguam Negara Idrus Harun adalah antara pegawai kanan kerajaan yang bersama rombongan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan enam menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat 23 Oktober lalu untuk mempersembahkan nasihat bagi pengisytiharan darurat.

Sementara itu, kumpulan 13 peguam Pejuang dalam satu kenyataan berasingan meminta Idrus mengundur diri daripada mewakili kerajaan Malaysia dalam kes ini.

“Peguam negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana peguam berkelayakan yang tidak mempunyai konflik berkepentingan untuk mewakili kerajaan Malaysia,” kata mereka, merujuk peruntukan di bawah Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Yang di-Pertuan Agong pada 25 Oktober, selepas mendengar pandangan Raja-Raja Melayu, memutuskan tidak memberi perkenan kepada permohonan Jemaah Menteri untuk pengisytiharan darurat.

Baginda merasakan kerajaan berjaya menangani krisis Covid-19 dengan berkesan dan berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk pengisytiharan darurat.

Mana mungkin peguam negara yang menyediakan hujah bagi mewajarkan darurat diisytiharkan kini mempertahankan di mahkamah keputusan Agong untuk menolak pengisytiharan itu, kata Mukhriz Mahathir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

Dalam pada itu, Mukhriz mempersoalkan motif sebenar kerajaan Muhyiddin cenderung mahukan perintah darurat, dan mengaitkannya dengan sokongan tipis kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat menjelang pengundian ke atas Belanjawan 2021 nanti.

“Barangkali, beliau dan Jemaah Menteri berasa resah dengan kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak dalam Parlimen. 

“Ini akan menyebabkan kerajaan PN tumbang dan Muhyiddin digugurkan jawatan sebagai perdana menteri. 

“Rata-rata di benak fikiran ramai, inilah sebab sebenar kerajaan pimpinan Muhyiddin beriya-iya supaya darurat diisytiharkan,” katanya.

Mukhriz menyeru rakyat untuk menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat untuk darurat dan menolak apa juga tindakan yang mempertikaikan keputusan tersebut.

“Saman pemula yang difailkan oleh Syed Iskandar tidak patut dilayan; kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak ‘nasihat’ perdana menteri mengenai darurat mestilah dianggap sah. 

“Muhyiddin pula perlu menghentikan segala usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri dengan menggunakan darurat,” katanya.

Dalam perutusan kepada rakyat pada Sabtu, Muhyiddin berkata pilihan raya kecil Batu Sapi pada 5 Disember dan pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan pada bila-bila tidak boleh ditangguhkan tanpa pengisytiharan darurat.

Sementara itu, sekurang-kurangnya sebuah badan masyarakat menyatakan hasrat memohon kepada mahkamah untuk jadi pencelah dalam tindakan saman pemula mengenai kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong itu.

Syed Iskandar dipetik oleh media menjelaskan beliau bukan “menyaman” Yang di-Pertuan Agong tetapi meminta penjelasan mahkamah mengenai kuasa-kuasa Yang di-Pertuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan saman pemula itu, katanya, meminta pandangan mahkamah adakah Yang di-Pertuan Agong telah bertindak mengikut kuasa-kuasa yang ada padanya apabila tidak memperkenankan nasihat Jemaah Menteri untuk pengisytiharan darurat. – 4 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen