Umno tetap tolak alasan Muhyiddin untuk isytihar darurat


Umno tidak terima alasan Muhyiddin Yassin untuk isytihar darurat, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

UMNO tetap menolak alasan dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa darurat perlu diisytiharkan untuk mengelak pilihan raya diadakan sewaktu pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata perisytiharan darurat bukan kaedah terbaik untuk menghalang pilihan raya itu dan menggesa agar titah Yang di-Pertuan Agong dihormati.

Lagi pula, masih banyak masa untuk menjalankan pemilihan seperti pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, katanya dalam satu kenyataan.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan DUN Sarawak hanya akan matang pada 7 Jun 2021 dan PRN boleh diadakan selewat-lewatnya Ogos pada tahun itu jika kerajaan negeri berkhidmta sehingga habis penggal.

Ini kerana PRN hanya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 7 Jun, jelasnya.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Batu Sapi yang perlu diadakan ekoran kematian penyandangnya VK Liew bulan lalu, Mohamad berkata ia boleh diselesaikan secara rundingan.

Jelasnya, usaha sepatutnya perlu dijalankan untuk mencapai persefahaman di antara parti untuk tidak bertanding bagi mengelak pilihan raya berlaku.

Katanya lagi, jika semua parti mengambil mengumumkan untuk tidak bertanding di Batu Sapi, pilihan raya kecil itu tidak lagi perlu diadakan dan kemenangan dikekalkan Warisan.

Sebab itulah permohonan mengisytihar darurat itu bukan alasan dan cara terbaik untuk menangguhkan kedua-dua pilihan raya itu, katanya.

Beliau juga percaya Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membuat keputusan secara bebas untuk mengendali pilihan raya mengikut perlembagaan dan protokol kesihatan semasa pandemik.

Mohamad menegaskan, demokrasi Malaysia perlu berfungsi walau dalam keadaan getir dan keputusan menolak darurat juga mengiktiraf kemampuan kerajaan menangani pandemik.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika para pemimpin parti kerajaan bertemu Muhyiddin sebelum sidang Parlimen bermula esok.

Muhyiddin dalam satu lagi perutusannya semalam masih mempertahankan keperluan undang-undang darurat untuk menangani Covid-19.

Perisytiharan tersebut akan menggantung sidang Parlimen dan

Permohonan kerajaan pimpinannya untuk mengisytihar darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu yang menyebabkan Muhyiddin terpaksa berdepan tentangan di Parlimen.

Baginda juga menitahkan agar semua ahli Parlimen menyokong belanjawan berkenaan untuk memastikan keperluan menangani pandemik dan juga kesejahteraan rakyat terjamin.

Bagaimanapun sentimen untuk menolak belanjawan tersebut masih wujud di kalangan ahli Parlimen, yang berisiko menumbangkan kerajaan Muhyiddin.

Sidang yang bermula esok juga menjadi perhatian ekoran kedudukan kritikal Muhyiddin yang berdepan sekurang-kurangnya 25 usul undi tidak percaya di Parlimen.

Tumpuan utama adalah pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat yang akan menyediakan peruntukan bagi menangi Covid-19 dan kesan ekonomi dari penularan pandemik itu. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen