Pejuang tak sokong Belanjawan 2021 membuta-tuli, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika mengadakan lawatan ke kawasan Parlimennya semalam.– Gambar Facebook, 1 November, 2020.

PEJUANG tidak akan menyokong Belanjawan 2021 secara membuta-tuli kerana perlu meneliti dahulu isu yang dicadangkan kerajaan, kata pengasas parti itu Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Pejuang tidak boleh menyokong dengan mudah walau Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ahli Parlimen menyokong belanjawan itu.

“Kita nak bersetuju tetapi tidak tahu apa dia, macam mana nak setuju? Tidak mungkin kita nak tandatangan cek kosong. Kita mahu tahu apa yang dia tulis (dalam belanjawan).

“Kertas berkenaan tebal, ada dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Kalau kita dapati ada peruntukan nak beli beg tangan, kita tak jadi (sokong). Tak boleh lulus,” jelas beliau.

Tambah Mahathir, seperti mana Yang di-Pertuan Agong mengkaji terlebih dahulu saranan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat, wakil rakyat juga perlu diberi ruang yang sama.

“Sebenarnya Yang di-Pertuan Agong pun apabila dikemukakan permintaan untuk isytihar darurat, baginda tidak tandatangan serta-merta, kena baca (kaji) dulu.

“Kalau kita wakil rakyat tak baca (belanjawan) itu bermakna kita tak bertanggungjawab terhadap rakyat yang pilih kita,” tambah bekas perdana menteri.

Beliau juga tidak terkilan kerana tidak dilibatkan dalam perbincangan mengenai belanjawan itu pada masa ini.

Dr Mahathir merujuk tindakan baginda yang mengambil masa untuk berunding dengan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu mengenai permohonan kerajaan Muhyiddin untuk mengisytihar darurat.

Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertindak demikian selepas Muhyiddin menghadap baginda pada 23 Oktober untuk mempersembahkan permohonan itu.

Baginda hanya mengumumkan menolak permohonan tersebut pada 25 Oktober selepas mendapat nasihat Raja-Raja Melayu, antaranya untuk mengekang salah guna kuasa oleh pentadbiran kerajaan.

Al-Sultan Abdullah juga mengarahkan semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan memulihkan negara yang diserang pandemik Covid-19.

Baginda juga mahu semua ahli politik itu menghentikan perbalahan demi kepentingan rakyat.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita di Langkawi semalam. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen