Pejuang tak dijemput bincang Belanjawan 2021, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

Parti Pejuang tidak dilibatkan dalam perbincangan pembentangan belanjawan walaupun pengasas parti baharu seperti bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut dilibatkan dalam perbincangan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2020.

PEJUANG tidak terkilan apabila tidak dilibatkan dalam menyediakan Belanjawan 2021 namun pendaftaran parti tersebut perlu diluluskan dengan segera, kata pengasasnya Dr Mahathir Mohamad.

Kata beliau, kerajaan Muhyiddin Yassin tiada alasan lagi untuk tidak meluluskan pendaftaran parti baharu itu.

“Tidak, kita tidak dijemput (bincang Belanjawan 2021). Tak peduli, tak dijemput tidak apa. Tapi daftarlah Pejuang, (ahli) kita sikit saja kebanyakan bukan wakil rakyat,” kata beliau.

Pejuang tidak dilibatkan walau pengasas parti baharu seperti bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut dilibatkan dalam perbincangan untuk pembentangan belanjawan itu.

Pembangkang seperti parti Warisan melalui setiausaha agungnya juga turut dilibatkan dalam belanjawan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pemimpin parti Pakatan Harapan pula dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Zafrul pada hari ini, sebelum ia dibentangan di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Belanjawan itu amat penting bagi menangani kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pelbagai peringkat masyarakat dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan pekerjaan.

Pejuang sudahpun menghantar permohonan penubuhan parti tersebut pada 19 Ogos lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Masyati Ibrahim.

Masyati yang merupakan pegawai yang meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan sebaik selepas dilantik ke jawatan itu pada Mei 2018 apabila gabungan tersebut menang pilihan raya.

Gabungan parti tersebut gagal didaftarkan dan menyebabkannya terpaksa bertanding menggunakan lambang PKR dalam pilihan raya umum awal bulan itu.

Selain Dr Mahathir, Pejuang diasaskan lima lagi ahli Parlimen – anaknya Mukhriz, Maszlee Malik, Marzuki Yahya, Shahruddin Md Salleh dan Amiruddin Hamzah.

Pada Jumaat lalu, pihak ROS mengumumkan permohonan parti itu masih dalam penelitian dan semakan. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen