Menteri Kewangan runding Belanjawan 2021 dengan Pakatan esok


Diyana Ibrahim

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akan bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) esok bagi berbincang mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat ini, kata pemimpin PH.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengesahkan partinya menerima jemputan itu, yang dihantar kepada presiden parti Anwar Ibrahim.

Katanya, PKR akan diwakili oleh empat orang wakil untuk berunding mengenai cadangan Belanjawan 2021.

“Kementerian Kewangan menghantar surat kepada presiden parti PKR jemput dalam majlis konsultasi bajet dan tempatnya esok di kementerian tersebut.

“Dan PKR diminta untuk hantar empat orang wakil… itu saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditanya siapakah empat wakil yang akan dihantar, Saifuddin berkata ia akan diputuskan oleh presiden parti.

The Malaysian Insight difahamkan DAP dan Amanah masing-masing akan diwakili tiga pemimpin, menjadikan semuanya 10 orang mewakili PH.

“Kita akan pergi esok sebab nama pun majlis konsultasi. Kementerian akan beri kerangka mereka (untuk) pembentangan bajet dan kami akan hadir dan kalau diminta untuk beri imput, kami akan beri,” katanya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengesahkan partinya menerima jemputan berbincang mengenai Belanjawan 2021 dengan menteri kewangan esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2020.

Semalam, Tengku Zafrul mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking.

Syed Saddiq kini wakil rakyat bebas sementara menunggu kelulusan parti baharunya Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sementara Leiking timbalan presiden Parti Warisan Sabah.

“Sesi ini adalah sebahagian dari usaha Kementerian Kewangan dalam merangka Belanjawan 2021 yang berfokuskan kesejahteraan Rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” kata Zafrul.

Selasa lepas Majlis Presiden PH memutuskan mahu Putrajaya berunding dahulu dengan mereka sebelum mengemukakan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan kepada rakyat berharap semua ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain,” katanya.

Jelas Muhyiddin, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh merangka persefahaman meluluskan Belanjawan 2021.

Dewan Rakyat akan bersidang mulai Isnin selama 27 hari, dengan tumpuan utama pada Belanjawan 2021.

Aturan mesyuarat yang dipaparkan di laman web Parlimen juga menyenaraikan beberapa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin ketika majoriti sokongannya terus jadi tanda tanya.

Dewan Rakyat bersidang seminggu selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah menolak cadangan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19.

Dalam titahnya tiga hari selepas penolakan itu,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli-ahli Parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi rakyat yang berhadapan krisis akibat Covid-19. – 31 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen