Ketepikan perbezaan politik, sokong Belanjawan 2021, kata Muhyiddin


Ragananthini Vethasalam

Muhyiddin berharap semua ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik demi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan. – Gambar ihsan Facebook, 31 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini memohon penggubal undang-undang daripada kerajaan dan pembangkang ketepikan perbezaan pandangan politik seterusnya menyokong Belanjawan 2021.

“Saya harap semua ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik demi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Mari kita letakkan kepentingan rakyat di atas.

“Persefahaman boleh dibentuk antara ahli Parlimen demi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan, dengan sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam perutusan khas menerusi televisyen hari ini.

Muhyiddin berkata gelombang ketiga Covid-19 yang dihadapi ketika ini sangat mencabar, pandemik itu menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Katanya lagi, Sabah, yang mengadakan pilihan raya bulan lalu, mempunyai jumlah kes tertinggi iaitu 13,701.

“Terdapat hampir 20,000 kes baharu dalam masa sebulan lalu berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya,” katanya.

“Oleh itu, Belanjawan 2021 telah menyediakan pelbagai jenis peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat Malaysia dan insentif korporat.”

Muhyiddin dilihat turut momohon supaya sokongan diberikan kepada beliau susulan cadangannya bagi mengisytiharkan darurat ditolak oleh Agong pada Ahad lalu.

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan turut menyatakan kesediaan untuk berunding dengan kerajaan berhubung wabak Covid-19 yang menyaksikan kenaikan kes baharu.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking.

Syed Saddiq kini merupakan wakil rakyat bebas sementara menunggu kelulusan parti baharunya Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sementara Leiking merupakan timbalan presiden Parti Warisan Sabah.

“Sesi ini adalah sebahagian dari usaha Kementerian Kewangan dalam merangka Belanjawan 2021 yang berfokuskan kesejahteraan Rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” kata Zafrul.

Esok, Zafrul dijadual mengadakan perbincangan dengan 10 wakil Pakatan Harapan.

Pada Khamis lalu, Pakatan mendesak Muhyiddin untuk segera memulakan perbincangan dengan pembangkang mengenai Belanjawan 2021, yang dijadualkan akan dibentang pada 6 November depan.

Majlis Presiden Pakatan turut berkata bahawa belanjawan harus menumpukan isu keperluan barisan hadapan negara, mengenal pasti strategi baru untuk mengembangkan ekonomi dan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat pandemik Covid-19. – 25 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen