SEMUA ahli Dewan Rakyat perlu menyokong Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan memulihkan negara yang diserang pandemik Covid-19, titah Yang di-Pertuan Agong.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga mahu semua ahli politik itu menghentikan perbalahan demi kepentingan rakyat, titah baginda menurut Istana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda menitahkan demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Al-Sultan Abdullah menyeru ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.”
Menurut Ahmad Fadil, dalam pertemuan itu baginda diberi taklimat mengenai belanjawan tersebut yang akan dibentangkan pada 6 November.
Baginda berharap ia menekankan kepada pemulihan ekonomi, kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat dan menyatakan kepercayaan ke atas Muhyiddin untuk menerajui negara.
Kenyataan itu muncul sewaktu para pemimpin parti dan ahli politik masih berkeras untuk menolak kerjasama sekiranya melibatkan individu atau parti tertentu.
Ia merupakan titah kedua baginda supaya ahli politik berhenti bercakaran selepas menolak permohonan pentadbiran Muhyiddin untuk mengisytihar darurat.
Pentadbiran Muhyiddin berusaha mengisytihar darurat untuk menggantung sidang Dewan Rakyat ekoran perkembangan yang menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional tidak menguasai majoriti. – 28 Oktober, 2020.
Komen