Hishammuddin nafi dakwaan mahu jadi timbalan perdana menteri


Bekas naib presiden Hishammuddin Hussein menafikan khabar angin bahawa beliau mengejar jawatan untuk menjadi timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

HISHAMMUDDIN HUSSEIN menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan jawatan timbalan perdana menteri selepas khabar angin mengatakan beliau antara tiga pemimpin Umno yang akan dipilih untuk jawatan itu.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut (jawatan timbalan perdana menteri).

“Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili Umno sebagai menteri dalam kerajaan hari ini,” kata beliau yang merupakan menteri luar menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata Umno dan kerajaan perlu fokus untuk sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus Kerajaan dan UMNO sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19, bukan soal jawatan.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan media Presiden Umno dan keputusan Majlis Tertinggi Umno tempoh hari iaitu menyahut seruan Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi Covid-19.

“Apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti – dulu, kini dan selamanya,” kata bekas naib presiden Umno itu.

News Straits Times hari ini melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Mohamad Hasan antara calon untuk jawatan itu. 

Namun Mohamad tidak memiliki kerusi Parlimen dan beliau mungkin dilantik sebagai Senator sebelum dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

Menteri Kanan Fadillah Yusof dari GPS juga antara yang disebut untuk menggalas tanggungjawab itu.

Muhyiddin memilih untuk melantik empat menteri kanan bagi menggantikan jawatan timbalan perdana menteri selepas membentuk Kabinet pada Mac lalu.

Empat menteri Kabinet itu adalah Ismail Sabri (pertahanan), Fadillah (kerja raya), Mohamed Azmin Ali (industri dan perdagangan antarabangsa) dan Mohd Radzi Jidi (pendidikan).

Muhyiddin dipercayai berdepan tekanan untuk melantik ahli Parlimen Umno sebagai timbalannya selepas parti itu mengugut mahu keluar dari kerajaan Perikatan Nasional. – 29 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen