Rayuan bekas presiden Korea Selatan ditolak, hukuman 17 tahun penjara kekal


Lee Myung-bak disabit bersalah kerana menyeleweng 25.2 bilion won (RM91.4 juta) dan menerima rasuah berjumlah 9.4 bilion won. – Gambar AFP, 29 Oktober, 2020.

BEKAS presiden Korea Selatan Lee Myung-bak diarah kembali ke penjara hari ini selepas Mahkamah Agung negara itu mengekalkan hukuman 17 tahun penjara kerana jenayah rasuah dan penyelewengan.

Lee, politikus konservatif, adalah presiden daripada 2008 hingga 2013, dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan dan tidak berada di mahkamah ketika keputusan dibuat, tetapi polis dilihat berada di rumahnya di Seoul untuk membawanya ke penjara, menurut laporan.

Penghakiman itu tidak boleh dirayu bermakna Lee, 78, berkemungkinan besar meninggal dunia dalam penjara kecuali menerima pengampunan presiden.

Kesemua empat bekas presiden Korea Selatan disiasat atau menjalani hukuman penjara- kebanyakannya hasil siasatan digerakkan pengganti mereka yang kebiasaannya adalah musuh politik.

Lee pertama kali disabit bersalah kerana menyeleweng dan menerima rasuah pada 2018 dan dipenjara. Mahkamah Rayuan kemudian menaikkan hukuman kepada 17 tahun tetapi membenarkan beliau diikat jamin sementara menunggu rayuan.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah kerana menyeleweng 25.2 bilion won (RM91.4 juta) dan menerima rasuah berjumlah 9.4 bilion won, serta hukuman penjara 17 tahun.

Lee juga didenda 13 bilion won dan perlu melepaskan asetnya berjumlah 5.7 bilion won.

“Tidak ada falasi perundangan dalam penghakiman mahkamah rayuan tentang rasuah dan penyelewengan,” kata Mahkamah Agong dalam kenyataan.

Pengganti Lee, Park Geun-hye sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana rasuah dan salah guna kuasa selepas disingkirkan pada 2017 kerana skandal rasuah yang mencetuskan protes besar-besaran seluruh negara.

Seorang lagi bekas pemimpin, Roh Moo-hyun dari Liberal, membunuh diri selepas disiasat berkaitan rasuah melibatkan ahli keluarganya- siasatan itu berlaku ketika pentadbiran Lee.

Roh adalah mentor politik Presiden sekarang Moon Jae-in, yang berkhidmat di Blue House semasa pentadbiran Roh, termasuk setahun menjadi ketua kakitangannya. – AFP, 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen