Pembangkang fail 25 usul undi tidak percaya terhadap PM, kata laporan


Seramai 25 ahli Parlimenkemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor FMT.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Oktober, 2020.

SERAMAI 25 ahli Parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor Free Malaysia Today.

Antara ahli Parlimen yang kemukakan usul berkenaan adalah Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dari DAP dan Ahli Parlimen Tawau yang juga Ketua PKR Sabah Christina Liew.

Menurut Kertas Perintah Parlimen yang dilihat portal berkenaan menunjukkan sebanyak 62 usul undi tidak percaya dikemukakan oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Lim ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata beliau mengemukakan usul pada 16 Oktober lalu.

“Kami berharap Speaker (Azhar Azizan Harun) usul diutamakan dalam senarai Aturan Mesyuarat.”

Selain Lim dan Liew, usul sama turut dikemukakan oleh 11 ahli Parlimen Amanah, Warisan (7) dan Pejuang (5).

Dewan Rakyat akan bersidang pada 2 November ini.

Pada 16 Oktober, kesemua lima ahli Parlimen Pejuang termasuk Dr Mahathir Mohamad mengemukakan permohonan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, bahawa perdana menteri tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Memandangkan parti Pejuang masih belum didaftarkan secara rasmi, maka kelima-lima mereka adalah ahli Parlimen Bebas.

Ini merupakan usul kedua Dr Mahathir selepas mengemukakan usul yang sama pada Mei.

Salah seorang daripada ahli Parlimen Pejuang, Maszlee Malik berkata usul juga dikemukakan ekoran kegagalan Muhyiddin menangani pandemik Covid-19.

Kesemua ahli Parlimen Pejuang berkata usul berkenaan perlu dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) Dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kedudukan Muhyiddin mula goyah selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 23 September lalu umum mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan. – 29 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen