Kesatuan pekerja bank gesa ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021


Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata ahli Parlimen perlu mengenepikan perbezaan politik bagi menyahut seruan Yang di Pertuan Agong supaya Belanjawan 2021 diluluskan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

KESATUAN Pekerja Bank Nasional (NUBE) menggesa semua ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang melakukan gencatan politik, serta menyokong usul-usul Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat.

Setiausaha agungnya J Solomon hari ini berkata ahli Parlimen perlu mengenepikan perbezaan politik bagi menyahut seruan Yang di Pertuan Agong supaya Belanjawan 2021 diluluskan.

“Nasihat Istana ini memerlukan para ahli Parlimen dari kedua belah pihak mengenepikan perbezaan politik demi mengutamakan kepentingan rakyat, pekerja dan perniagaan yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19. 

“Mereka (rakyat) amat memerlukan Belanjawan 2021 untuk mengatasi keperitan dan rasa putus asa mereka kerana gelombang ketiga wabak ini terus menekan ekonomi dalam keadaan Malaysia masih mencatatkan kes positif tiga digit saban hari,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

“Dengan demikian, kami menggesa ahli Parlimen kerajaan dan  pembangkang untuk memberikan sokongan bipartisan terhadap usul-usul Bajet 2021 yang efektif dan efisien, terutama yang dapat mengatasi permasalahan pekerja bergaji rendah dan PKS,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, Nube percaya Belanjawan akan diluluskan kerana percaya semua ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Nube percaya bahawa pelaksanaan semula moratorium keseluruhan pinjaman bank untuk enam bulan adalah contoh cadangan yang mampu meraih sokongan bipartisan kukuh  daripada 222 ahli Parlimen jika ia terkandung dalam Belanjawan 2021,” jelasnya.

Ini berdasarkan wujudnya sokongan jelas daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bahawa moratorium keseluruhan amat diperlukan, terutama bagi kumpulan B40 dan M40 serta PKS, kata Solomon. 

Tambahnya, tempoh moratorium yang tamat pada hujung September kemudian diikuti gelombang ketiga pandemik Covid-19 menambahkan lagi kesan yang dihadapi perniagaan dan pekerjaan, sekali gus menyukarkan proses pemulihan ekonomi.

Solomon berkata keputusan kerajaan menggantikan moratorium keseluruhan dengan skim bantuan bersasar dan bersyarat tidak memadai untuk membantu berjuta pekerja yang terpinggir, termasuk pekerja gaji harian dan PKS.

Penangguhan moratorium keseluruhan juga secara langsung mmebantu lebih daripada lapan juta pekerja dan majikan mereka, katanya.

Selain itu, sektor perbankan juga mampu menunda pembayaran pinjaman mereka selama enam bulan lagi kerana bank mencatatkan keuntungan sekitar RM32 bilion untuk 2019. 

“Menurut Bank Negara, bank-bank terus berada dalam keadaan baik dan mempunyai ketahanan mengharungi pandemik Covid-19,” kata Solomon.

Kesepakatan dalam isu penting membabitkan rakyat, dan perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum ini meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan usia mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Kerajaan Perikatan Nasional buat pertama kali akan membentangkan Belanjawan pada 6 November ini. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran besar kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak, membuktikan hilangnya keyakinan ahli Dewan Rakyat terhadapnya. – 29 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen