Belanjawan 2021 perlu utama pemulihan di tengah Covid-19 , kata kumpulan


Ragananthini Vethasalam

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia mengharapkan kos pembiayaan projek yang lebih rendah melalui subsidi faedah atau jaminan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional buat pertama kali akan membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November ini, ketika negara sedang menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi.

Belanjawan 2021 akan menumpu kepada empat perkara iaitu mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagi kebanyakan perniagaan, apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan dapat terus bertahan untuk mengelakkan penutupan.

Begitu juga sektor ekonomi utama seperti pembinaan dan pembuatan, bagaimana untuk meneruskan kelangsungan ketika ekonomi tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

The Malaysian Insight menemubual wakil dua sektor utama ini mengenai harapan dan cadangan mereka menjelang Belanjawan 2021.

Pembinaan: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM)

MBAM mencadangkan projek-projek yang tertangguh seperti MRT 3, Projek High-Speed Rail (HSR) Kuala Lumpur Singapura, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru - Singapura dan Lebuh Raya Pan Borneo dapat diteruskan.

Kos pembiayaan yang lebih rendah bagi projek juga perlu melalui subsidi faedah atau jaminan kerajaan, katanya.

Selain itu, kempen Beli Barangan Malaysia perlu dilaksanakan bagi bahan binaan tempatan, berserta kawalan lebih ketat ke atas harga bahan binaan untuk mengelakkan monopoli.

MBAM juga berkata pekerja asing dalam negara dan tiada rekod jenayah perlu diberi permit untuk dua hingga tiga tahun. Jumlah pekerja asing boleh dikurangkan secara beransur-ansur sementara industri pembinaan melalui digitalisasi dan automasi secara berperingkat. 

Paling utama, kerajaan memerlukan perancangan holistik untuk menangani isu jangka pendek dan panjang membabitkan penawaran tenaga buruh asing bagi sektor pembinaan di samping meningkatkan kemahiran dan minat rakyat tempatan.

Projek yang tertangguh seperti Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru - Singapura perlu diteruskan, kata MBAM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

Pembuatan: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM)

Memandangkan situasi ketika ini tidak menentu, automasi dan digitalisasi perlu disegerakan untuk meningkatkan produktiviti.

FMM mencadangkan pelbagai program kepada kerajaan untuk menyokong penggunaan teknologi dan dan digital, pusat latihan, peranan lebih besar oleh institusi pengajian tinggi dan lebih banyak kursus dalam talian.

Insentif cukai juga perlu diberi kepada syarikat tempatan yang terbabit dalam robotik, juga untuk industri dan universiti yang bekerjasama dalam penyelidikan pembuatan.

Selain itu, semua syarikat perlu diberi potongan cukai berganda bagi perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Akses jalur lebar dengan harga berpatutan dan berkualiti juga perlu sebagai salah satu usaha ke arah automasi, tambah FMM.

Persekutuan itu turut mencadangkan kerajaan menangguhkan dulu sebarang rancangan menaikkan tarif pada 2021, serta melanjutkan diskaun ke atas elektrik dan gas asli bagi 2021 untuk membantu syarikat pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Cukai individu dan korporat lebih rendah

FMM juga menggesa kepada sistem cukai yang lebih kompetitif, iaitu 20% bagi cukai korporat dan 15% untuk semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi cukai individu, FMM mencadangkan kadar antara 5% hingga 10% bagi tahun taksiran 2020 dan 2021, sebagai bantuan langsung untuk mengurangkan kesan Covid-19 ke atas individu.

FMM turut cadangkan kadar cukai individu bagi 2022 dan seterusnya mesti pada kadar maksimum 22%. Ini akan membantu pemulihan ekonomi melalui peningkatan pendapatan boleh guna serta penggunaan.

Menurutnya lagi, cukai individu perlu distruktur semula agar pembayar cukai tidak dibebani d=kadar cukai yang lebih tinggu dalam waktu yang singkat.

Modal insan: Latihan vokasional dan gaji minimum

Kemahiran baharu (reskilling) amat diperlukan dalam menangani isu pengangguran akibat pandemik Covid-19.

FMM mencadangkan dana perantisan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Suruhanjaya TVET yang dikawal oleh Akta Parlimen yang berfungsi sebagai pengerak utama.

Berkenaan dana perantisan TVET, levi pekerja asing boleh digunakan untuk membiayai program untuk melatih rakyat tempatan.

Bagi gaji minimum pula, FM berkata sebarang kenaikan perlu ditangguhkan selama dua tahun untuk memberi ruang kepada syarikat memulihkan perniagaan seperti sedia kala.

Takrif gaji minimum juga perlu dikaji semula, dengan memasukkan gaji bersih dan bukan gaji pokok.

“Gaji minimum sepatutnya gaji bersih dan semua pembayaran tunai dan elaun tetap hendaklah ditakrifkan sebagai gaji di bawah Seksyen 2 Akta Kerja,” kata FMM.

FMM menambah, gaji juga perlu berkait dengan produktiviti. Kerajaan katanya boleh menyediakan garis panduan yang lebih jelas mengenai Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS).

Potongan cukai berganda ke atas kos untuk melaksanakan PLWS juga perlu sebagai satu bentuk sokongan kepada syarikat, kata FMM. – 29 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen