Wakil rakyat gesa kerajaan selaras peraturan PKPB


Kerajaan digesa menyediakan garis panduan yang jelas sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum untuk mengelakkan keadaan panik dalam kalangan rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

KERAJAAN perlu menambah baik penyelarasan antara agensi-agensinya dalam penguatkuasaan peraturan bagi membendung Covid-19, susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dilanjutkan sehingga 9 November, kata wakil rakyat.

Adun Balakong Wong Siew Ki menggesa kerajaan menyediakan garis panduan yang jelas sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum untuk mengelakkan keadaan panik dalam kalangan rakyat.

“Pengumuman lanjutan PKPB tanpa garis panduan yang jelas akan mengelirukan rakyat, terutamanya apabila sering berubah selepas mendapat aduan orang ramai,” katanya.

Wong juga berkata hukuman ke atas mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan mestilah adil.

“Ada yang ingkar SOP sebab pemimpin sendiri tidak menunjukkan teladan yang baik.”

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil juga senada dengan Wong, berkata segala perincian mengenai sebarang peraturan perlu diteliti secara menyeluruh sebelum diumumkan.

Katanya, garis panduan sebaik-baiknya diumumkan pada hari pengumuman PKPB atau lanjutannya dibuat.

“Kalau umum hari ini tetapi peraturannya diumum esok, rakyat akan keliru,” kata Fahmi.

Beliau memberikan contoh arah bekerja dari rumah bagi pekerja bahagian pengurusan dan penyeliaan. Kerajaan juga bagi yang perlu terus bekerja mereka perlu menjalani ujian calitan Covid-19, yang ditanggung oleh Perkeso bagi majikan yang mencarum.

Fahmi berkata majikan memperuntukkan ribuan ringgit kerana menyangkakan pekerja perlu jalani ujian sekali lagi selepas diambil kali pertama semasa perintah kawalan pergerakan dilonggarkan pada Jun.

Selepas mendapat aduan majikan, kerajaan kemudian menjelaskan ujian calitan Covid-19 diwajibkan. – 27 Oktober, 2020.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen