Indira Gandhi saman KPN RM100 juta


Noel Achariam

M Indira Gandhi akan memfailkan saman RM100 juta terhadap KPN Abdul Hamid Bador kerana gagal mengesan anak perempuannya Prasana Diksa yang masih hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

PEGUAM mewakili M Indira Gandhi akan memfailkan saman RM100 juta terhadap Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador kerana gagal mengesan anak perempuannya Prasana Diksa yang masih hilang.

Pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi Arun Doraisamy berkata tuntutan akan difailkan menerusi Tetuan Raj dan Sach di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini.

“Tuntutan saman itu akan difailkan minggu ini, sama ada Rabu atau Khamis.

“Kami sudah beri KPN (Hamid) banyak masa untuk mendapatkan Prasana balik.

“Kami sudah cuba semua cara, jadi kami akan teruskan dengan saman ini,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.

Prasana, kini 12, dilarikan oleh bekas suami Indira, Muha0mmad Riduan Abdullah ketika Prasana masih bayi.

Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Riduan, seorang mualaf untuk mengembalikan Prasana pada 2014, tetapi beliau gagal berbuat demikian, menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Indira berkata mereka akan meneruskan saman itu dan berjalan 350km untuk keadilan.

“KPN buat janji palsu. Kami hanya mahu tahu di mana Prasana berada.

“Peguam sudah siapkan semua dokumen (untuk tindakan sivil).”

Indira berkata mereka bukan mahu saman sangat, tetapi tidak ada apa lagi boleh dibuat kerana masih tidak mendapat jawapan di mana Prasana berada.

Dalam usaha terakhir menuntut keadilan, Indira akan berjalan sejauh 350km dari utara semenanjung Malaysia ke Putrajaya, selepas semua cara mendapatkan anak perempuannya, tidak berhasil.

Beliau akan mengambil masa 12 hari bermula 21 November dari Sungai Petani, Kedah ke Putrajaya untuk menghantar surat kepada perdana menteri.

Arun berkata sejak awal tahun ini, mereka minta untuk bertemu Hamid tetapi gagal dan berputus asa kerana KPN sendiri nampaknya tidak ikhlas berjumpa mereka.

Riduan membawa Prasana selepas beliau secara sebelah pihak menukar agama tiga anak mereka kepada Islam.

Mahkamah memberikan hak jagaan tiga anak kepadanya selepas mendapati penukaran agama itu tidak mengikut undang-undang. – 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen