Penjual buku Pasar Chowrasta bertahan di tengah Covid-19


Zaim Ibrahim

Seorang pelanggan sedang melihat buku-buku di kedai buku terpakai di Pasar Chowrasta di George Town, Pulau Pinang.– Gambar The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

PENIAGA buku terpakai di Pasar Chowrasta di George Town, Pulau Pinang terus bertahan di tengah gelombang Covid-19 yang sekali lagi melanda walaupun sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sejak Mac lalu perniagaan mereka hanya untung ala kadar.

Beberapa peniaga yang ditemui The Malaysian Insight memberitahu, menjual buku sudah jadi darah daging mereka selain perniagaan itu juga warisan daripada keluarga.

Untuk meneruskan hidup mereka sanggup membuat pekerjaan lain tetapi kedai buku di pasar itu tetap dibuka setiap hari, kata mereka.

Nasir Ahmad Abdul Jabar, 54, mengaku beliau kini melakukan dua kerja bagi memastikan poketnya tidak kosong.

Setiap hari beliau mengendalikan kedai buku di Pasar Chowrasta dari pagi sampai ke petang dan kemudian bekerja di sebuah kedai makan untuk mencari pendapatan harian.

“Saya buka kedai dalam pukul 11 pagi hingga 5 petang. Ketika musim Covid 19, sehari kita boleh dapat RM10 atau RM20 sahaja sebulan.

“Lepas tutup kedai buku, saya akan bantu kawan berniaga di sebuah kedai makan untuk dapat gaji harian tetap.

“Kalau bisnes bagus hari itu, saya tidak kerja di kedai makan tetapi disebabkan Covid 19, tak boleh berharap kerja sepenuh masa jual buku, kena ada kerja lain, sebab tiada pilihan lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Peniaga Nasir Ahmad Abdul Jabar berkata beliau tidak sanggup menutup atau berhenti menjual buku kerana perniagaan itu merupakan satu warisan yang perlu dikekalkan.– Gambar The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

Nasir yang menjual buku sejak 36 tahun dahulu mewarisi perniagaan buku terpakai daripada ayahnya. Katanya, apa pun yang terjadi, beliau tidak akan berhenti menjual buku.

“Macam mana keadaan sekalipun, saya tetap mahu jaga bisnes ini. Mungkin, nak cari makan… kita ada cara lain, tetapi untuk menjaga buku-buku ini… ada yang  berusia lebih 50 tahun, bukan senang nak cari.

“Saya kerja lain untuk cari makan pun tidak apa dan buku ini saya akan tetap jaga kerana sayang,” tambah beliau.

Nasir menyewa sebuah kedai di Pasar Chowrasta sejak 30 tahun lalu. Sewanya RM130 sebulan.

Sebelum menyewa di kedai itu, Nasir berniaga di tapak lama kedai buku terpakai di Jalan Macalister 30 tahun lalu.

Sudah rezeki itu saja

Menceritakan keadaan perniagaannya sejak Covid-19 menular, Nasir bersyukur walaupun hanya mampu meraih RM10 atau RM20 sehari.

“Akhir tahun 2019, alhamdulillah pelanggan ramai, boleh dapat RM2,000 hingg RM3,000 sebulan. Bulan Januari ada kurang sikit sehinggalah kerajaan tetapkan PKP, saya tiada pendapatan langsung.

“Saya buka balik bulan Jun, pendapatan kembali pulih tapi sejak ada beberapa kluster baharu, bisnes kita jatuh balik.

“Sejak dua tiga minggu lalu, orang tak datang. Buka kedai tapi kosong saja… buang masa. Sehari pun dapat RM10 ke RM20 saja,” keluh beliau.

Jelas Nasir, kebanyakan pelanggannya pelancong dari luar negeri. Mereka kini tidak lagi datang ke Pulau Pinang sejak gelombang ketiga Covid-19 sementara pelanggan di negeri itu pun tidak keluar rumah seperti sebelumnya untuk mencari buku di Pasar Chowrasta.

Namun buku-buku jualannya masih laku kerana banyak buku genre akademik dijual lebih murah berbanding buku baharu, tambahnya.

Seorang lagi penjual buku,  Mohamed Assalam Gulam Mohamad, 47, berkata, sejak seminggu lalu, beliau juga tidak menerima seorang pelanggan pun.

Mohamed Assalam Gulam Mohamad memberitahu, menjual buku bukan hanya satu perniagaan tetapi hobi bagi dirinya. Beliau mula belajar menjual buku sejak kecil bersama datuknya.– Gambar The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

Assalam yang mewarisi perniagaan daripada datuknya berkata, wabak Covid-19 menyebabkan perniagaan tidak menentu dan sukar diramal.

“Selepas kita buka bisnes balik Jun lalu, pendapatan seolah-olah ada harapan untuk pulih tetapi ada saja beberapa kluster baru, pelanggan tidak datang dua tiga hari.

“Daripada sebelum ini boleh dapat RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, sekarang boleh dapat dalam RM1,000 sahaja,” jelas beliau yang mewarisi kedai di pasar itu sejak 25 tahun lalu.

Assalam juga menjual buku secara atas talian. Cara itu katanya turut membantu beliau meraih pendapatan, tetapi baginya aktiviti penjualan secara fizikal lebih memuaskan.

“Saya lebih puas hati pelanggan datang, masuk ke kedai dan mencari buku-buku yang kita jual, lebih seronok.

“Jual dalam talian memang bantu cari makan, tetapi orang akan beli hanya apabila ada buku-buku yang kita promosi di media sosial.

“Jika di kedai, mereka akan ambil masa yang lama tengok buku-buku di sini,” katanya.

Walaupun berdepan dengan kesusahan ekoran wabak Covid 19, beliau tetap akan mempertahankan kedainya kerana menjual buku baginya adalah hobi.

“Kedai ini bukan hanya warisan, bukan hanya mencari makan. Tapi ia juga hobi saya, saya jual buku ini sejak ikut datuk saya lagi iaitu lebih 30 tahun dulu.

“Jadi apa-apa pun, saya akan tetap jaga kedai buku ini,” tegasnya.

Pasar Chowrasta yang mula dibuka sejak akhir 1800-an menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan yang mahu mendapatkan makanan basah, barangan dapur, jeruk dan cenderamata, selain bazar makanan yang menjual makanan tradisional.

Kedai-kedai buku terpakai yang mula bertapak di pasar ini pada era 1980-an menjual buku tempatan dan import, yang sesetengahnya dicetak lebih 50 tahun dulu.

Kedai buku terpakai di Pasar Chowrasta mula aktif pada tahun 1980-an. Pasar Chowrasta telah bertapak di George Town sejak penghujung era 1800.– Gambar The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

Seorang lagi peniaga, Sabri Sabran Naseer Khan berkata, beliau dapat mengelak daripada buku-bukunya tidak terjual kerana menyediakan platform secara atas talian.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, beliau aktif menjual buku melalui laman Facebook sejak empat tahun lalu bagi menggantikan kedai ayahnya.

“Kedai ini jadi stor dan ambil buku-buku yang perlu pos kepada pelanggan. Saya duduk di kedai dua tiga jam sahaja, sambil kemas kini Facebook dengan buku-buku yang ada.

“Daripada komik, novel, sastera dan sejarah saya jual dan memang ada pelanggan,” kata Sabri.

Tidak seperti peniaga lain yang mengeluh apabila pendapatan mereka terjejas, Sabri berkata sejak PKP, beliau masih dapat menjalankan perniagaan kerana banyak permintaan terhadap buku-buku yang dijualnya.

“Hasil perniagaan sekarang masih sama ketika sebelum Covid-19,” tambahnya, yang mempunyai dua buah kedai.

Jelas Sabri, kebanyakan pelanggannya mencari buku lama termasuk buku sejarah dan sastera yang dijual mahal kerana nilai warisan.

Pulau Pinang yang sebelum ini merupakan zon hijau pada tempoh yang agak lama, bertukar kepada zon kuning apabila terdapat beberapa kluster baharu.

Antara kluster yang wujud ialah Kluster Ara, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai, dan Kluster Alma. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen