Agong harapan terakhir rakyat, kata Guan Eng


Yang di-Pertuan Agong adalah harapan terakhir kita menghalang pengisytiharan darurat yang tidak masuk akal, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong adalah harapan terakhir rakyat agar darurat tidak diisytiharkan, kata Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Pengisytiharan darurat yang tidak wajar itu hanya bertujuan untuk menyelamatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang hilang sokongan ahli Dewan Rakyat, tambah beliau.

“Rakyat Malaysia terkejut dengan cubaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong terhadap perisytiharan darurat dengan dalih palsu untuk menangani penularan gelombang ketiga Covid-19 yang semakin meningkat.

“Yang Di-Pertuan Agong adalah harapan terakhir rakyat untuk mengelakkan pengumuman darurat yang tidak wajar oleh perdana menteri demi menyelamatkan dirinya dengan mengorbankan rakyat, demokrasi berparlimen dan ekonomi negara,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim, yang juga bekas menteri kewangan, mempersoalkan apakah cadangan Muhyiddin itu menandakan Kementerian Kesihatan sudah hilang kawalan untuk mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

“Adakah Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan kita sudah tidak mampu mengawal keadaan tersebut sehingga darurat seluruh negara diperlukan?

“Malah golongan profesional perubatan kita telah menyatakan bahawa langkah-langkah semasa seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sudah memadai dan pada masa yang sama membantu mengurangkan kesan buruk terhadap keadaan ekonomi rakyat,” katanya lagi.

Kenyataan Lim itu senada dengan Amanah bahawa Muhyiddin kini sudah hilang sokongan majoriti dan perlu meletak jawatan.

“Apa yang jelas, Tan Sri Muhyiddin telah hilang majoriti di Parlimen dan dia tidak mempunyai keyakinan untuk memenangi undian Belanjawan di Parlimen.

“Bahkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengakui bahawa pelaksanaan kuasa darurat adalah untuk mengelakkan pilihan raya, yang secara tidak langsung mengakui ‘rancangan besar’ untuk melindungi kedudukan mereka yang berkuasa.

“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin serius ingin mengatasi krisis kesihatan Covid-19, dia harus meletakkan jawatan kerana kelemahannya untuk tidak melaksanakan kuarantin penuh di rumah kepada mereka yang kembali dari Sabah berikutan pilihan raya Sabah.

“Rakyat Malaysia memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar,” jelas Lim. 

Istana Negara hari berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berunding dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat, mengenai cadangan-cadangan Jemaah Menteri yang dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan bagaimanapun tidak menyebut sama ada cadangan itu, yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilaksanakan, menyentuh soal perisytiharan darurat.

Media yang memetik pelbagai sumber semalam melaporkan kerajaan Muhyiddin bercadang menggunakan kuasa-kuasa di bawah perintah darurat untuk menangani pandemik Covid-19 di tengah-tengah kedudukan sokongan ke atasnya yang tipis di Dewan Rakyat. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen