Letak jawatan sajalah, kata Amanah kepada Muhyiddin


Cadangan Muhyiddin Yassin untuk isytiharkan darurat hanya untuk menyelamatkan dirinya daripada berdepan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, kata Amanah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

MUHYIDDIN Yassin telah hilang sokongan majoriti dan perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri, kata Amanah.

Parti itu dalam satu kenyataan hari ini berkata cadangan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat hanya bertujuan untuk menyelamatkan dirinya daripada berdepan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Amanah berkeyakinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Beliau juga gusar kemungkinan gagal mendapat sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2021. Sepatutnya beliau mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meletak jawatan. 

“Ini adalah tindakan yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab berbanding pengisytiharan darurat,” kata kenyataan itu.

Semalam, sumber memberitahu The Malaysian Insight mesyuarat khas Jemaah Menteri semalam memutuskan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan perintah darurat di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan pandemik Covid-19.

Muhyiddin juga menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz di Kuantan petang semalam, tetapi sehingga kini tiada pengumuman dibuat.

Dalam pada itu, Amanah berharap Seri Paduka Baginda akan menolak cadangan Muhyiddin dan mempertahankan institusi demokrasi berparlimen, sekaligus menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.

“Amanah menyatakan bantahan yang sekeras-kerasnya terhadap cadangan tersebut. Hakikatnya tiada keperluan, mengikut pakar-pakar kesihatan awam dan penyakit-penyakit berjangkit, untuk mengistiharkan darurat untuk menangani ancaman Covid-19.

“Sebaliknya apa yang diperlukan adalah untuk memperkukuhkan tindakan-tindakan kesihatan awam demi menghadapi gelombang ketiga ini. 

“Apa yang disarankan juga adalah strategi komunikasi yang berkesan dan jelas mengenai semua tindakan yang perlu dilakukan rakyat,” menurut kenyataan Amanah lagi. – 24 Oktober, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen