BN Selangor gesa Muhyiddin letak jawatan


Zaim Ibrahim

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil mendesak Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan memudahkan Yang di-Pertuan Agong membuat tindakan selanjutnya. – Gambar Facebook, 24 Oktober, 2020.

BARISAN Nasional (BN) Selangor menyarankan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan bagi mengelak jalan yang panjang dan memakan masa.

Ketua penerangannya, Isham Jalil berkata jika tindakan itu diambil, ia akan memudahkan Yang di-Pertuan Agong membuat tindakan selanjutnya.

“Untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan pengakhiran sama (darurat), adalah lebih afdal untuk rakyat dan negara jika Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri terlebih dahulu, dan menyerahkannya kembali kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan sepenuhnya sama ada untuk melantik perdana menteri baharu, membubarkan Parlimen, atau mengisytiharkan darurat,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu lebih sopan dan ‘gentleman’ kerana memberi ruang sepenuhnya kepada Agong untuk membuat keputusan tanpa sebarang kekangan atau paksaan.

Isham berkata demikian susulan kenyataan Istana Negara yang Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu untuk mempertimbangkan cadangan pengisytiharan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Jelasnya, Agong akan melihat sama ada terdapat pilihan dalam peruntukan undang-undang selain darurat dan baginda juga tidak mahu cadangan itu disalah guna untuk kepentingan politik. 

Jika Agong tidak berkenan cadangan darurat itu, maka Perlembagaan dan Parlimen juga tidak akan digantung dan sidang Parlimen yang dijadualkan pada bulan depan, akan diteruskan, tambah Isham.

“Namun pada sidang Parlimen bulan ini akan ada pembentangan Belanjawan 2021 yang memerlukan undian ahli Parlimen untuk diluluskan.

“Jika kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam Dewan untuk usul belanjawan ini, maka ia jelas menunjukkan kerajaan dan perdana menteri sudah hilang sokongan majoriti,” katanya.

Menurut Isham lagi, jika situasi itu berlaku maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain meletakkan jawatan atau menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Naaman menyifatkan gesaan itu sebagai tidak bertanggungjawab, oportunis, dan khianat. 

“Desakan agar Muhyiddin meletak jawatan atau mahu menukar perdana menteri sama ada melalui pilihan raya atau usul undi di Parlimen pada waktu sekarang adalah tindakan terdesak kelompok yang gilakan kuasa ketika ramai rakyat sedang merana di luar sana.

“Jangan ada mana-mana pihak mengaku sokong kerajaan PN atas alasan ‘gencatan politik’ tapi membuat kenyataan terbuka yang senada pula dengan pihak pembangkang yang tidak berkesudahan mempolitikkan semua isu,” kata Faiz.

Menurutnya, semua pihak perlu ingat peranan serta kuasa Agong tidak pernah terganggu oleh keberadaan perdana menteri, kerana semuanya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Agong berhak menentukan sama ada negara ini perlu diletakkan di bawah darurat separa (darurat kesihatan) atau tidak demi menjaga keselamatan rakyat,” kata beliau bagi menjawab desakan daripada BN Selangor itu.

Awal hari ini, Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang Agong akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan dikemukakan Muhyiddin semalam.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin tidak menyebut sama ada cadangan itu berhubung perisytiharan darurat.

Sementara itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata, cadangan darurat oleh Muhyiddin akan memberi lebih kuasa kepada dirinya.

“Apa yang dapat buat dengan darurat untuk menghentikan wabak berbanding dengan apa yang dapat kita lakukan sekarang? Tidak ada.

“Tetapi keadaan darurat akan memberi kuasa tambahan kepada perdana menteri. Apa yang dilakukannya setakat ini tidak mengurangkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang mempengaruhi negara ini,” tulis beliau di blognya, Chedet. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen