Ateisme bagi anak muda adalah perkara ‘cool’, poyo


Meor Yusof Aziddin

ATEISME itu maknanya tak ada Tuhan. Saya faham apa itu ateis ini sewaktu pertama kali membaca novel Atheis karya Achdiat K. Mihardja, penulis tersohor kelahiran Indonesia pada awal tahun 80an dulu.

Buku ini diterbitkan pada tahun 1949 di Indonesia manakala di Malaysia ia diterbitkan pada tahun 1966.

Novel Atheis ini penting kerana ia memberikan kita pengertian tentang banyak perkara, tentang Tuhan, agama, Islam, kepercayaan, manipulasi dan banyak lagi isi yang kita boleh dapat daripadanya.

Tentang kebodohan watak Anwar yang warak yang akhirnya cair imannya bagai kapas yang kehujanan hanya kerana seorang wanita. Juga tentang Anwar yang berfahaman anarkis, Rusli yang sosialis dan sedikit sebanyak kita akan faham apa itu liberal, sosialis, Nietzsche, Karl Marx dan apa itu ateis tatkala kita habis membaca novel Atheis ini.

Cuma beberapa bulan yang lepas cerita tentang ateis ini mula menjadi isu dengan kewujudan kelab ateis di Malaysia, Atheist Republic Consolate of Kuala Lumpur dan membuatkan pak menteri kita panik sekejap.

Saya percaya sejak dulu lagi, dalam kalangan umat mahupun bangsa yang ada di negara kita ini, ramai yang tidak punya agama mahupun mempercayai tentang wujudnya Tuhan.

Ramai juga dalam kalangan mereka yang “free thinker” atau berfahaman “free spirit” yang mana mereka percaya adanya roh atau semangat dalam konteks yang terbuka atau bebas.

Cuma apabila ada anak-anak muda yang berbangga tidak punya agama, kita menjadi panik khususnya bagi orang Melayu yang beragama Islam.

Kita kena faham apa mahunya anak-anak muda hari ini. Mereka ini ada satu penyakit yang mana mereka ini sangat taksub dengan subjek yang nampak “cool”.

Ateisme bagi anak muda hari ini sudah menjadi satu barang yang “cool”. Saya percaya mereka ini bukannya faham sangat apa itu ateis pun, melainkan hanya mengada-ngada dan kebanyakan mereka ini mungkin dalam kalangan anak orang berada yang tinggal di Kuala Lumpur.

Apa yang ada dalam fahaman ateisme ini ? Pertamanya, bebas dari kongkongan ibu bapa, tapi tak ada duit, minta dari ibu bapa juga sudahnya. Keduanya, kebebasan, bebas dari sebarang hukum ugama.

Apa yang “cool” dan apa yang poyo? Itu saja yang ada dalam pemikiran kebanyakan anak muda hari ini. Mereka ini hanya mahukan kebebasan, sebab agama itu hukum dan kita akan dihukum jika melanggar hukum.

Mereka merasakan minda mereka bebas terbang bagai burung, tanpa perlu pulang ke sarang.

Ada beribu agama di dunia ini, sampaikan ugama Maradona pun ada di Argentina, kesan taksub akan kehebatan pemain bola itu di atas padang.

Saya percaya setiap agama di dunia ini menyuruh umatnya berbuat baik antara sesama makhluk. Tak ada agama yang suruh buat jahat.

Buruk baik itu datangnya dari sifat dan acuan manusia itu sendiri. Asasnya mengikut hukum dan peradaban, manusia memerlukan agama untuk hala tuju hidup mereka di dunia ini.

Kumpulan muzik Beatles di zaman kegemilangan mereka di tahun 60-an dulu pernah menggegarkan dunia dengan kenyataan bahawa Beatles itu lebih popular dari Jesus Christ.

Kenyataan kontroversi yang sangat sensitif yang keluar dari mulut John Lennon itu memberi impak yang sangat buruk dalam kalangan peminatnya sehingga membuatkan mereka memohon maaf untuk menjernihkan kenyataan.

Apa yang Lennon luahkan itu betul. Memanglah anak muda waktu itu lebih gilakan kumpulan Beatles daripada agama mereka sendiri.

Sama juga dengan situasi hari ini di negara kita ini. Berapa ramai anak muda kita hari ini yang meninggalkan agama dan suka hidup bebas, tanpa Tuhan dan sekatan?

Kadang-kadang kita akan bertanya, apa fungsinya agama dalam hidup manusia?

Sedangkan dunia ini sudah sedia dicorakkan dengan segala sifat buruk dan baik, melalui fitrah dan kifarah umat dalam melayari kehidupan itu sendiri.

Bagi saya, kebanyakan anak muda hari ini watak mereka ini lebih kurang watak Hassan dalam novel Atheis karya Achdiat K. Mihardja, terlalu naif dalam mentaksir makna hidup dan Tuhan dalam konteks dan peradaban semasa.

Kehidupan ini akan menjadi sunyi tanpa Tuhan, inilah kenyataannya. Kita mungkin mampu menipu antara sesama kita, tapi kita tidak akan mampu menipu diri kita sendiri. – 17 Disember, 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen