'Malaysia patut teraju Asean isu Rohingya'


(Dari kiri) Iftikhar Rashid, Prof Romel Zaman, Prof Emeritus Marika Vicziany dan Prof Greg Barton di persidangan antarabangsa di Melbourne, Australia. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Disember, 2017.

ASEAN harus abaikan prinsip untuk tidak campur tangan urusan dalaman negara anggotanya dan berpendirian lebih teguh terhadap Myanmar berhubung krisis dihadapi Rohingya, kata pakar di persidangan antarabangsa di Melbourne, Australia.

Malaysia patut memainkan peranan penting memandangkan Malaysia menanggung beban besar krisis pelarian Rohingya dari Myanmar, kata pakar urusan berkaitan Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Sejak Ogos, dianggarkan seramai 650,000 pelarian telah melarikan diri dari operasi ketenteraan di wilayah Rakhine, Myanmar yang digambarkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) sebagai “pembersihan etnik.”

Ramai antaranya melarikan diri ke Bangladesh, dan dianggarkan seramai 62,000 melarikan diri ke Malaysia.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Bangladesh telah menahan seorang penyeludup manusia dan memintas bot pelarian yang sedang bersedia belayar menuju Malaysia.

“Ini bukan kes domestik lagi (buat Malaysia),” kata calon PhD Universiti Monash kepada The Malaysian Insight, menambah kenyataan sbeelum ini dalam persidangan meja bulat anjuran universitinya bersama National Centre for South Asian Studies (NCSAS) dan the Asia Centre di Bangkok, Thailand.

“Malaysia patut menjadi peneraju negara-negara Asean kerana menanggung beban paling besar (melindungi) lebih kurang 200,000 pelarian,” katanya.

Selain tekanan kemanusiaan, pakar yang terdiri daripada ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil berkata, negara Asean lebih berisiko menghadapi ketidakstabilan dan masalah keselamatan.

Pakat keselamatan Universiti Deakin Melbourne, Profesor Greg Barton menaikkan kemungkinan radikalisasi dengan berkata, sementara ekstremisme mungkin bukan punca krisis itu, namun ia mungkin juga boleh membawa kepada isu radikalisasi.

Beliau memberi contoh pengeboman di terowong bawah tanah New York yang didakwa dilakukan oleh pendatang dari Bangladesh.

Iftikhar dan pengarah Asia Centre di Bangkok, Profesor Robin Ramcharan mengakui bahawa Malaysia telah “berbunyi” mengenai isu itu dalam Asean.

Iftikhar memetik kenyataan Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berhubung adanya kemungkinan radikalisasi dalam kalangan penduduk Rohingya.

“Memandangkan tahap diskriminasi politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi Rohingya, ada mungkinnya kumpulan pengganas serantau dan antarabangsa  mengeksploitasi itu,” katanya.

“Yang membimbangkan saya… bagaimana isu Rohingya ini mungkin boleh digunakan untuk meradikalkan ‘segmen yang lebih besar’ dalam masyarakat, yakni orang Islam di rantau yang tak punya latar belakang Rohingya, menggunakan dalih isu Rohingya.

“Memandangkan krisis Rohingya ini wujud dibelakang tabir negara-negara Asia Tenggara dan Asia Sleatan, timbul banyak emosi mengenai isu Rohingya ini dalam rantau ini. Ada risiko solidariti emosi masyarakat rantau ini terhadap Rohingya mungkin akan dipergunakan oleh kumpulan (pengganas) Islam yang akan menggunakan jalan cerita ‘mangsa kekejaman terhadap Islam.’

“Kita dah nampak dalam beberapa bulan ini pelbagai propaganda oleh kumpulan Islam di Asia Tenggara dan Asia Selatan yang memfokuskan krisis Rohingya, dengan cubaan untuk ‘mengislamkan’ isu Rohingya bagi memutarbelit emosi dan mendapatkan sokongan.

“Inilah risiko rantau ini. Malaysia dan negara-negara lain patut menaikkan isu Rohingya ini dengan menekan Myanmar, daripada melihat isu ini sebagai masalah dalaman semata-mata.” – 16 Disember, 2017.

Baca selanjutnya di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen